PENAMPANG, 1 September 2026 – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dan merampas 31 paket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 1,060.39 gram dalam satu operasi di sekitar daerah ini, awal pagi tadi.
Rampasan dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM20,150.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy bin Newton berkata, suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam di sebuah premis hiburan.
Menurutnya, saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati lelaki berkenaan positif amphetamine, methamphetamine dan THC.
“Hasil siasatan lanjut susulan tangkapan tersebut, polis menemukan sebuah beg di lokasi berkenaan yang mengandungi 31 paket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Suspek kini direman bagi membantu siasatan dan polis meneruskan siasatan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian yang mungkin mempunyai kaitan dengan rampasan berkenaan.
IPD Penampang turut menegaskan komitmen untuk mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat. – DAKWAT RAKYAT POST
