BINTULU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan menyeludup 80.35 kilogram (kg) syabu bernilai RM4.01 juta menerusi khidmat kurier kononnya bungkusan ‘tofu cat litter’.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Haji Yahya, berkata rampasan berkenaan dijalankan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bintulu dengan kerjasama Cawangan Narkotik dan Cawangan Risikan Ibu Pejabat JKDM.
Menurutnya, pada 28 Ogos lalu, pihaknya melakukan pemantauan terhadap beberapa bungkusan yang dialamatkan ke sebuah premis di Bandar Bintulu.
“Bungkusan berkenaan diikrarkan sebagai tofu cat litter, namun ia disyaki berisi dadah.
“Pemantauan selain intipan dijalankan selama 12 hari namun tiada pihak tampil menuntut bungkusan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pemeriksaan kemudiannya mendapati bungkusan terbabit berisi methamphetamine.
Penggunaan maklumat penerima yang tidak wujud bertujuan memastikan penghantarannya tidak dapat dikesan pihak berkuasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Kredit sumber: Berita Harian
