SEMPORNA, 30 September 2026 – Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) sedang melihat peluang untuk memperluaskan penglibatannya dalam industri perikanan menerusi kerjasama strategik bersama institusi kewangan.
Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar berkata, kerjasama berkenaan penting bagi membolehkan syarikat mengenal pasti peluang perniagaan dan pelaburan yang berpotensi, khususnya dalam sektor perikanan serta industri berkaitan seperti rumpai laut.
Katanya, institusi kewangan seperti Agrobank mempunyai peranan penting dalam membantu membuka ruang kepada SAFMA untuk meneroka projek yang mempunyai potensi untuk dibangunkan secara komersial.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Pengurus Agrobank Cawangan Semporna, Donny Abbie, sempena lawatan kerja SAFMA ke daerah berkenaan.
Menurut Burhan, pertemuan itu turut menjadi medan untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan berhubung potensi sektor perikanan di Semporna, selain membincangkan bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan dari aspek pembiayaan, pembangunan projek dan peluang perniagaan.
“SAFMA mahu bergerak lebih jauh dengan meneroka peluang dalam industri perikanan. Untuk mencapai hasrat itu, kita memerlukan jaringan kerjasama yang kukuh, termasuk dengan institusi kewangan yang mempunyai kepakaran serta kemudahan pembiayaan dalam sektor agro dan perikanan,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama berkenaan diharapkan dapat membantu SAFMA mengenal pasti projek yang berpotensi dan berdaya maju, di samping membuka ruang ekonomi kepada nelayan, pengusaha rumpai laut serta usahawan tempatan.
Burhan turut menyifatkan Semporna sebagai antara kawasan yang mempunyai potensi besar untuk pembangunan industri perikanan dan rumpai laut.
Katanya, potensi tersebut boleh dikembangkan menerusi pendekatan komersial yang lebih tersusun serta kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan, institusi kewangan dan pemain industri.
“SAFMA akan terus meneroka peluang kerjasama strategik yang bukan sahaja mampu memperkukuh kedudukan syarikat dalam industri perikanan, malah memberi nilai tambah kepada hasil perikanan Sabah dan meningkatkan manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya.
Turut menyertai kunjungan berkenaan ialah Timbalan Pengurus Besar SAFMA, Azis Ali Amat. – DAKWAT RAKYAT POST
