JAKARTA: Polis Indonesia membongkar sebuah makmal rahsia yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan dadah jenis etomidate bernilai kira-kira Rp120 bilion (RM35 juta) di sebuah kawasan perumahan elit di PIK 2, Tangerang, Banten, pada Khamis lalu.
Dalam serbuan itu, Satuan Reserse Narkoba Polres Metro Jakarta Barat menahan seorang lelaki warga China dikenali sebagai CF, 27, yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengeluaran dadah berkenaan.
Polis turut merampas 1,008 kartrij atau pod yang mengandungi etomidate dan dipercayai sedia untuk diedarkan, selain kira-kira 12,000 kartrij kosong yang disyaki disediakan untuk diisi dengan bahan berkenaan.
Turut dirampas ialah bahan mentah, cecair serta peralatan yang dipercayai digunakan dalam proses pengeluaran etomidate.
Menurut polis, pemeriksaan di lokasi menemukan 1,300 gram bahan mentah yang disyaki etomidate, kira-kira 11,000 mililiter cecair disyaki mengandungi bahan sama serta pelbagai peralatan pengeluaran termasuk bekas, alat pemanas dan penimbang digital.
Berdasarkan jumlah bahan mentah yang ditemukan, penyiasat menganggarkan ia berupaya menghasilkan kira-kira 20,514 kartrij etomidate.
Kes itu terbongkar selepas polis menjalankan siasatan terhadap pengedaran kartrij etomidate yang dikemas menyerupai komponen rokok elektronik.
Hasil soal siasat terhadap CF pula membawa kepada pengesanan seorang individu berinisial AC yang dipercayai menjadi pengendali utama rangkaian berkenaan.
Polis kini menyenaraikan AC sebagai individu dikehendaki dan mengesyaki dia masih berada di China.
Siasatan mendapati CF dipercayai datang ke Indonesia beberapa kali sebelum ditahan dan dikatakan telah menjalankan aktiviti pengeluaran etomidate itu selama kira-kira dua bulan.
Polis turut bekerjasama dengan pihak Imigresen, Bea Cukai dan Kedutaan China bagi menyiasat laluan kemasukan bahan serta peralatan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Kapolres Metro Jakarta Barat, Kombes Pol Nasriadi, berkata pihaknya masih menyiasat keseluruhan rangkaian termasuk individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengeluaran dan pengedaran dadah tersebut.
Kes berkenaan kini masih dalam siasatan pihak berkuasa Indonesia bagi membongkar rangkaian pengeluaran dan pengedaran etomidate yang dipercayai menyasarkan pasaran tempatan.
Kredit sumber: ANTARA News
