SEMPORNA: Lebih 10 tan sisa isi rumah berjaya dikumpul dan diuruskan menerusi projek perintis pengurusan sisa berasaskan komuniti di Kampung Sri Aman, sejak Mac lalu.
Sehingga 25 September, sebanyak 10,168.32 kilogram sisa dikumpulkan menerusi sistem kutipan berkala yang melibatkan kira-kira 100 isi rumah di kampung air berkenaan.
Program dikendalikan Reef Check Malaysia (RCM) bersama jawatankuasa komuniti Kampung Sri Aman dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan sebagai usaha mengurangkan risiko sisa mengalir atau memasuki persekitaran marin di kawasan berkenaan.
Penolong Pengurus Program RCM, Sitti Rahina Binti Ibrahim berkata, program itu turut menyediakan data mengenai jumlah dan jenis sisa yang dihasilkan komuniti kampung air, selain tahap penyertaan isi rumah.
“Program ini memberikan bukti penting mengenai apa yang boleh dicapai melalui penyertaan komuniti, termasuk jumlah sisa yang dapat dicegah daripada memasuki alam sekitar melalui sistem kutipan yang mudah,” katanya.
Daripada jumlah sisa yang dikumpulkan, kira-kira 3,897 kilogram terdiri daripada sisa plastik, manakala 2,157 kilogram lagi membabitkan botol plastik, botol kaca dan tin.
Sisa lain yang dikumpulkan termasuk pakaian, kertas, kotak, barangan elektronik dan produk sanitari.
Pengurus Kanan Program RCM Sabah, Adzmin Fatta berkata, pencapaian berkenaan bukan sekadar menunjukkan jumlah sisa yang berjaya dikeluarkan daripada persekitaran, tetapi menggambarkan kepentingan pencegahan pencemaran dari peringkat isi rumah.
“Lebih 10 tan bukan sekadar angka sisa. Kita perlu bertanya ke mana sisa ini akan pergi sekiranya sistem ini tidak diwujudkan.
“Di kampung air yang dikelilingi laut, sebahagian sisa berkenaan berkemungkinan akhirnya memasuki ekosistem marin,” katanya.
Menurutnya, usaha membersihkan pantai dan dasar laut penting, namun pencegahan dari sumber merupakan pendekatan lebih praktikal dalam menangani masalah sisa marin.
Katanya, projek di Kampung Sri Aman membuktikan sistem pengurusan sisa yang mudah boleh diwujudkan dan diterima komuniti sekiranya disokong dengan mekanisme kutipan yang teratur.
Ketua Kampung Sri Aman, Hassan Gabra berkata, kejayaan mengumpulkan lebih 10 tan sisa menunjukkan kesediaan penduduk untuk mengambil bahagian apabila sistem yang jelas dan praktikal disediakan.
Beliau berharap program itu dapat diteruskan selepas tempoh projek perintis berakhir bagi membolehkan lebih banyak isi rumah mendapat manfaat.
Program berkenaan turut menyediakan tong kepada isi rumah yang mengambil bahagian bagi membolehkan sisa diasingkan mengikut kategori sebelum dibawa ke pusat pengumpulan yang ditetapkan di kampung.
Sisa kemudian ditimbang dan direkodkan oleh penyelaras tempatan sebelum diangkut keluar menggunakan lori ke kemudahan pelupusan yang diuruskan pihak berkuasa tempatan.
Projek itu dibangunkan dengan input daripada Majlis Daerah Semporna, Pejabat Daerah Semporna dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, manakala pembiayaannya ketika ini disokong Etika sehingga akhir 2026.
RCM berkata, kelangsungan program memerlukan kerjasama berterusan antara komuniti, agensi kerajaan, sektor perniagaan, pengusaha pelancongan, pertubuhan masyarakat sivil dan penyumbang dana.
Menurutnya, pengurusan sisa memerlukan operasi kutipan, pengangkutan, pemantauan dan pelupusan yang konsisten, khususnya di kawasan kampung air yang mempunyai cabaran dari segi geografi, infrastruktur dan akses.
Program berkenaan diharap dapat menjadi model untuk membangunkan sistem pengurusan sisa yang bersesuaian dengan keperluan kampung air lain di Semporna, sekali gus membantu mengurangkan kemasukan sisa ke persekitaran marin.
