KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah terus memperhebatkan tindakan penguatkuasaan di beberapa daerah bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta menangani penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Dalam operasi yang dijalankan dari 26 September hingga 1 Oktober lalu, kira-kira 12 operasi penguatkuasaan dilaksanakan di beberapa lokasi yang dikenal pasti di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Keningau.
Sepanjang operasi berkenaan, pemeriksaan dilakukan terhadap seramai 288 individu sebelum 82 orang yang dipercayai PATI ditahan untuk tindakan lanjut.
Daripada jumlah tangkapan itu, warga Filipina membabitkan 21 lelaki dewasa, 14 perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.
Warga Indonesia pula terdiri daripada 11 lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan, manakala tangkapan membabitkan warga Pakistan terdiri daripada 24 lelaki dewasa.
JIM Sabah dalam kenyataannya memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa, khususnya di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan warga asing.
Langkah itu bertujuan memastikan semua pihak mematuhi peruntukan undang-undang imigresen selain membanteras kehadiran PATI di negeri ini.
Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu mana-mana warga asing yang melanggar undang-undang negara.
Masyarakat turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI kepada JIM Sabah melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) di eapp.imi.gov.my.
JIM Sabah menegaskan usaha penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan di seluruh daerah bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membendung kemasukan dan keberadaan warga asing tanpa dokumen sah di negeri ini. – DAKWAT RAKYAT POST
