KOTA KINABALU, 5 Oktober 2026 – Keselamatan pelajar di institusi pendidikan perlu diberi keutamaan dan diperkasa melalui langkah pencegahan yang lebih menyeluruh bagi mengelakkan kejadian serius daripada berlaku.
Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS), Sekretariat Borneo Berselawat (SBB) dan pengasas TigaSatuTiga Channel, Kefayatullah Hj. Malik Aman, berkata isu keselamatan pelajar tidak seharusnya hanya diberi perhatian selepas berlaku insiden membabitkan buli, kekerasan atau kejadian serius.
“Jangan sampai nyawa jadi harga sebuah kecuaian. Keselamatan pelajar perlu jadi keutamaan dan tindakan tidak sepatutnya hanya bermula selepas sesuatu tragedi berlaku,” katanya ketika mengulas kebimbangan terhadap perkembangan isu keselamatan pelajar susulan beberapa kes serius kebelakangan ini.
Menurutnya, isu berkenaan tidak wajar dilihat semata-mata sebagai masalah disiplin sekolah kerana ia turut berkait rapat dengan pembentukan karakter, nilai empati, pendidikan keluarga dan persekitaran sosial.
Katanya, usaha memastikan keselamatan pelajar memerlukan kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa, pihak berkuasa dan masyarakat.
“Kita tidak boleh melihat isu ini hanya sebagai tanggungjawab pihak sekolah. Ibu bapa mempunyai peranan yang sangat besar dalam membentuk peribadi dan karakter anak-anak sejak dari rumah.
“Sekolah mendidik anak-anak dalam tempoh tertentu, tetapi keluarga merupakan asas kepada pembentukan mereka. Sebab itu hubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa perlu diperkasakan lagi,” katanya.
Kefayatullah berkata, kerjasama antara sekolah dan ibu bapa juga tidak seharusnya hanya diwujudkan selepas sesuatu insiden dilaporkan, sebaliknya perlu dilaksanakan secara proaktif.
Beliau berkata, perubahan tingkah laku, konflik sesama pelajar, kecenderungan melakukan kekerasan atau keadaan apabila seseorang pelajar menjadi mangsa gangguan perlu dikenal pasti pada peringkat awal.
“Kita perlu bergerak daripada pendekatan yang hanya bertindak selepas sesuatu kejadian berlaku kepada pendekatan pencegahan.
“Jangan sampai berlaku tragedi dahulu, kemudian semua pihak mula mencari punca dan memikirkan apa yang perlu diperbaiki. Sistem kita perlu mampu mengenal pasti risiko sebelum ia berkembang menjadi sesuatu yang lebih serius,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata tanggungjawab membentuk persekitaran pendidikan yang selamat tidak boleh dipikul oleh pihak sekolah dan ibu bapa sahaja.
Katanya, pihak berkuasa, kementerian dan jabatan berkaitan, kaunselor, badan masyarakat, institusi keagamaan serta komuniti setempat turut mempunyai peranan dalam mewujudkan ekosistem yang lebih selamat untuk pelajar.
“Badan-badan autoriti yang lain juga perlu memainkan peranan. Ini bukan isu yang boleh diselesaikan oleh satu pihak sahaja.
“Kalau kita mahu membentuk generasi yang mempunyai disiplin dan nilai kemanusiaan, pendekatannya perlu menyeluruh dan melibatkan semua lapisan masyarakat,” katanya.
Kefayatullah turut menekankan kepentingan pembentukan moral, jati diri dan kerohanian dalam proses pendidikan.
Menurutnya, pencapaian akademik semata-mata tidak memadai sekiranya tidak disertai pembentukan akhlak, adab, empati dan rasa tanggungjawab terhadap orang lain.
“Anak-anak bukan hanya perlu diajar untuk menjadi pintar, tetapi juga perlu dibentuk menjadi manusia yang mempunyai adab, empati dan rasa tanggungjawab.
“Kita mahu mereka memahami bahawa kekuatan bukan bermaksud menindas orang lain dan keberanian bukan bermaksud melakukan kekerasan. Nilai kemanusiaan itu perlu dibina sejak kecil,” katanya.
Beliau turut yakin pihak berwajib mempunyai keupayaan untuk merangka penyelesaian yang lebih menyeluruh dalam menangani isu keruntuhan moral dan kemerosotan nilai empati dalam kalangan pelajar serta masyarakat.
Bagaimanapun, katanya, tindakan tidak wajar ditangguhkan sehingga berlaku lebih banyak kejadian serius.
“Saya yakin pihak yang berwajib mampu mencari solusi yang bernas dalam menangani isu keruntuhan moral dan nilai empati serta nilai-nilai mulia dalam kalangan pelajar dan masyarakat.
“Tetapi kita tidak boleh terus menunggu sehingga isu ini menjadi semakin parah dan kritikal. Pada pandangan saya, kita sudah sampai pada satu fasa yang memerlukan tindakan sekarang,” katanya.
Kefayatullah berkata, pengukuhan sistem pendidikan, institusi keluarga dan peranan masyarakat perlu bergerak seiring bagi memastikan usaha membentuk generasi muda tidak hanya tertumpu kepada pencapaian akademik.
“Kita perlu memperkasakan semula tiga perkara ini, pendidikan, kekeluargaan dan kemasyarakatan.
“Sekolah perlu selamat, keluarga perlu menjadi tempat pertama pembentukan karakter dan masyarakat pula perlu kembali memainkan peranan dalam membimbing serta menjaga generasi muda.
“Kalau kita benar-benar mahu melihat perubahan, tindakan itu perlu bermula sekarang, bukan selepas kita kehilangan lebih ramai anak-anak,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
