KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 44 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Tuaran Bypass, berhampiran Kedai Chan Furniture, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika mangsa dipercayai memandu Mitsubishi Triton dari arah Tebobon menuju ke pusat bandar raya Kota Kinabalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan kemudian melanggar sebatang pokok.
“Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan tidak sedarkan diri sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 1.31 pagi.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi peraturan lalu lintas serta memastikan keadaan pemanduan berada pada tahap selamat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – DAKWAT RAKYAT POST
