MUKAH: Sarawak tidak akan berundur dalam mempertahankan haknya terhadap sumber minyak dan gas, termasuk melalui usaha mengoptimumkan kekayaan berkenaan untuk manfaat rakyat dan pembangunan negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tuntutan hak terhadap minyak dan gas itu dibuat secara konsisten berdasarkan undang-undang serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya tidak akan berundur mengenai hak Sarawak terhadap minyak dan gas seperti yang saya tegaskan secara berterusan.
“Ada orang kata saya mahu bunuh PETRONAS. Tidak. Kita lakukan mengikut hak kita dalam MA63 dan kita masih bersama (PETRONAS),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah di Dataran Pehin Setia Raja di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, dari sudut geologi, kawasan perairan Sarawak di bawah pelantar benua mempunyai potensi rizab minyak dan gas yang besar, termasuk di kawasan berhampiran Mukah.
Katanya, kewujudan rizab berkenaan perlu dioptimumkan supaya hasilnya dapat dikembalikan kepada rakyat menerusi pembangunan infrastruktur, jalan raya dan sektor pertanian.
“Adakah orang Sarawak melihat saja? Kita mesti mengoptimumkan hasil bumi kita supaya hasil ini dapat dipulangkan semula kepada anak-anak kita melalui jalan raya, infrastruktur dan pembangunan pertanian,” katanya.
Abang Johari berkata, usaha mengembangkan industri minyak dan gas Sarawak turut memasuki fasa baharu menerusi kerjasama Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dengan sebuah syarikat dari Norway bagi membangunkan kemudahan Terminal Gas Asli Cecair (LNG) di Kuching.
Katanya, projek berkenaan merupakan antara usaha Sarawak mengusahakan kekayaan gas yang dimiliki negeri ini dan dijangka beroperasi menjelang 2029 atau awal 2030.
Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan hasil negeri membolehkan Sarawak mempunyai keupayaan lebih besar untuk melaksanakan pembangunan tanpa bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan.
Katanya, pendapatan negeri yang sebelum ini sekitar RM6 bilion hingga RM7 bilion kini meningkat kepada RM14 bilion dalam tempoh enam tahun.
“Maknanya, kita mesti mencari jalan untuk memperkukuh ekonomi kita dan menambah pendapatan negeri Sarawak.
“Alhamdulillah, selama enam tahun ini kita telah dapat meningkatkan pendapatan negeri Sarawak. Jika dahulu pendapatan kita lebih kurang RM6 hingga RM7 bilion, hari ini kita dapat melipatgandakan pendapatannya sehingga RM14 bilion,” tegasnya.
Beliau berkata, hasil berkenaan digunakan untuk membiayai pembangunan yang dilaksanakan Sarawak, namun negeri ini perlu terus meningkatkan kekuatan ekonominya.
Abang Johari turut mengaitkan sumber tenaga Sarawak dengan keperluan membangunkan aset manusia bagi memastikan kekayaan sumber asli dapat menghasilkan nilai tambah lebih tinggi.
Katanya, Sarawak mempunyai pelbagai aset tenaga termasuk gas, solar, biojisim dan hidro, namun aset manusia merupakan perkara paling penting dalam menambah nilai kepada aset fizikal negeri.
“Ini semua adalah aset kita. Namun, apa yang paling penting ialah aset manusia yang boleh menambah nilai kepada aset fizikal yang ada di Sarawak,” katanya.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online/Disiarkan pada 3 Oktober 2026
