JAKARTA: Kerajaan Indonesia menghalang 6,555 rakyatnya yang mahu bekerja di luar negara daripada berlepas melalui saluran tidak sah sepanjang dua tahun pertama pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.
Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Mukhtarudin, berkata jumlah itu direkodkan hasil usaha campur tangan kerajaan dari Oktober 2024 hingga 5 Oktober 2026.
“Dalam tempoh Oktober 2024 hingga 5 Oktober 2026, kami merekodkan 6,555 bakal pekerja migran dalam kategori pencegahan,” katanya kepada ANTARA di Jakarta, semalam.
Selain usaha mencegah penghantaran pekerja melalui saluran tidak sah, kementerian itu turut menguruskan 51,460 kes penghantaran pulang sepanjang tempoh dua tahun berkenaan.
Daripada jumlah itu, 43,671 pekerja migran yang berdepan masalah dibantu untuk pulang dengan selamat, manakala 1,234 jenazah pekerja migran dibawa pulang ke Indonesia.
Mukhtarudin berkata, perlindungan kepada rakyat Indonesia yang bekerja di luar negara perlu diberikan secara menyeluruh, bermula sebelum mereka berlepas, ketika bekerja di luar negara hingga pulang ke tanah air.
“Perlindungan pekerja migran bukan bermula ketika mereka berada di luar negara, sebaliknya bermula sebelum mereka berlepas,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh usaha pencegahan supaya rakyat tidak menjadi mangsa penempatan pekerja migran melalui saluran tidak sah.
Usaha menghalang 6,555 bakal pekerja migran itu dilaksanakan menerusi kerjasama kerajaan tempatan, pihak berkuasa penguat kuasa dan agensi berkaitan di beberapa lokasi pelepasan utama di seluruh Indonesia.
Bakal pekerja yang ditahan di lokasi asal atau tempat transit diberikan bantuan sebelum dihantar pulang dengan selamat ke wilayah masing-masing.
“Pencegahan adalah bentuk perlindungan paling awal. Apabila kita berjaya menghalang seseorang daripada menggunakan saluran tidak mengikut prosedur, kita turut mengelakkan kemungkinan berlakunya masalah lebih besar pada masa depan,” katanya.
Kredit sumber: Agensi/Berita Harian
