KOTA KINABALU: Portal berita Dakwat Rakyat Post kini secara rasmi memperoleh kelulusan pendaftaran daripada Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh peranannya sebagai saluran penyampaian maklumat dan berita kepada masyarakat.
Kelulusan itu dimaklumkan menerusi surat rasmi Jabatan Penerangan Malaysia bertarikh 6 Oktober 2026 yang dialamatkan kepada Sri Melati Media Sdn Bhd, selaku syarikat yang mengendalikan portal berita berkenaan.
Perkembangan itu merupakan pencapaian penting bagi pasukan redaksi Dakwat Rakyat Post yang selama ini komited membangunkan mekanisme pengumpulan berita sebagai wadah penyampaian maklumat yang lebih cepat dan efisien, relevan, berfakta serta dekat dengan masyarakat.
Pengarah Urusan Sri Melati Media Sdn Bhd, Haji M. Ridzal Hj. Abdullah, berkata kelulusan berkenaan amat dinantikan oleh seluruh pasukan redaksi selepas melalui proses permohonan pendaftaran dengan pihak berkenaan.
“Syukur alhamdulillah. Terima kasih kepada Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, serta Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat yang mewakili Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Tuan Mohd Haizul Hod, atas kepercayaan yang diberikan,” katanya.
Menurut beliau, kelulusan itu menjadi suntikan semangat kepada seluruh pasukan untuk terus memperkukuh operasi editorial, meningkatkan mutu penyampaian berita serta memastikan setiap maklumat yang diterbitkan mengutamakan ketepatan, integriti dan kepentingan masyarakat.
Beliau berkata, pengiktirafan tersebut turut membawa tanggungjawab yang lebih besar kepada Dakwat Rakyat Post untuk terus berkembang sebagai organisasi media yang profesional dan bertanggungjawab, selain telus dalam melaporkan perkembangan semasa, khususnya berkaitan isu kemasyarakatan, pembangunan serta kepentingan rakyat di Sabah dan seluruh negara.
Haji M. Ridzal turut berharap kelulusan berkenaan menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang kerjasama strategik dengan pelbagai pihak dalam industri media, di samping memperluas capaian maklumat kepada masyarakat melalui saluran digital.
Dengan kelulusan pendaftaran itu, Dakwat Rakyat Post bertekad untuk terus memperkukuh kedudukannya dalam landskap media digital negara dengan berpegang pada prinsip kewartawanan beretika, pelaporan bertanggungjawab serta komitmen yang tinggi dalam menyampaikan maklumat yang sahih kepada orang ramai.
