KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi model Chery Omoda 5 serta menangguhkan pendaftaran baharu sehingga siasatan teknikal berhubung insiden gandar belakang tercabut di Johor Bahru, minggu lalu, selesai.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata tindakan itu dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian yang berpotensi terjejas sebagai langkah pencegahan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau berkata, Chery Malaysia diarahkan mengenal pasti semua unit berisiko berdasarkan nombor komponen, kelompok pengeluaran, nombor casis dan parameter teknikal berkaitan.
“Panggilan semula hendaklah dilaksanakan terhadap semua kenderaan yang dikenal pasti berisiko bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan pembetulan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, JPJ turut menjalankan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Chery Omoda 5, termasuk pembekal komponen gandar yang berkaitan.
Audit itu merangkumi pematuhan amalan pengilangan, sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan serta tahap keselamatan komponen yang digunakan.
“JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
“Pengeluar bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dipasarkan memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal yang ditetapkan,” katanya.
Aedy Fadly berkata, penggantungan itu hanya akan ditarik balik selepas semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya serta JPJ mengesahkan risiko keselamatan telah ditangani dengan sewajarnya.
Insiden terbaharu itu mendapat perhatian selepas gambar dan video sebuah Chery Omoda 5 berwarna hitam yang terpisah gandar belakang bersama kedua-dua roda belakang daripada badan kenderaan tular di media sosial minggu lalu.
Kejadian itu turut mengimbas insiden hampir sama pada April 2024 yang menyaksikan kempen pemeriksaan membabitkan 600 unit Chery Omoda 5.
Ketika itu, Chery Auto Malaysia mengenal pasti masalah penentukuran peralatan kimpalan di pihak pembekal komponen sebagai punca kerosakan gandar belakang.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan bahawa insiden terbaharu mempunyai kaitan dengan masalah yang dikenal pasti pada 2024.-Dakwat Rakyat Post
