KENINGAU: Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan selepas polis menemui 54.72 gram syabu dalam sebuah Ford Ranger di tepi Jalan Batu 27, Jalan Keningau-Nabawan, Sook, awal pagi tadi.
Suspek ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau kira-kira jam 12.05 tengah malam menerusi Ops Gempur Khas.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan tiga paket plastik pelbagai saiz berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu seberat 54.72 gram.
Katanya, dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM6,019.
“Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan turut menemukan sebilah pedang yang disembunyikan di bahagian belakang tempat duduk penumpang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Polis turut merampas sebuah Ford Ranger dan wang tunai RM2,000 dalam operasi berkenaan.
Menurutnya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman berat terhadap kesalahan mengedar dadah jika disabitkan.
Erwansyah berkata, pihaknya khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik akan meneruskan operasi secara berterusan bagi membanteras kegiatan pengedaran serta kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.
Katanya, tindakan itu bertujuan memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah Keningau sentiasa terpelihara.
