KOTA MARUDU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memotong kabel milik syarikat telekomunikasi CelcomDigi dengan niat untuk mencurinya.
Tertuduh, Christoper Paliyu, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memotong kabel pembumian (grounding cable) milik CelcomDigi dengan niat untuk mencurinya di sebuah pencawang di Kampung Sinanggip, Pitas, pada petang 14 September lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap tertuduh, berkuat kuasa dari tarikh sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Seanhilary Miting Pakoi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan bagi membendung kegiatan mencuri kabel.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui sebarang kegiatan jenayah bagi membantu usaha pencegahan dan penguatkuasaan.-Dakwat Rakyat Post
