SANDAKAN: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki 120 biji telur penyu hijau, spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di Sabah.
Tertuduh, Jumadil Jamil, 44, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Khushairy Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki 120 biji telur penyu hijau (Chelonia mydas) pada jam 8.06 malam, 4 Julai 2025, di tempat letak kenderaan di hadapan sebuah restoran di Kota Kinabatangan.
Penyu hijau ialah spesies yang dilindungi sepenuhnya dan disenaraikan dalam Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 8, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 41(1) enakmen berkenaan, yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 41(4)(a) enakmen sama.
Peruntukan tersebut menetapkan hukuman denda antara RM50,000 hingga RM250,000 serta penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM50,000 terhadap tertuduh. Jika gagal membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dipenjara selama enam bulan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL), Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-DAKWAT RAKYAT POST
