PENAMPANG: Tiga kereta musnah dalam kebakaran di luar sebuah kedai aksesori kereta di Bundusan Square, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, kebakaran itu turut menyebabkan sebuah kenderaan pacuan empat roda mengalami kerosakan akibat bahangan.
Beliau berkata, tiga kereta yang musnah ialah Toyota Land Cruiser, Perodua Kenari dan Hyundai Atos, manakala sebuah GWM Wingle 5 mengalami kesan bahangan kira-kira tiga peratus pada bahagian fender belakang.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu,” katanya.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.55 tengah hari sebelum tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.
Seramai 12 anggota BBP Penampang bersama tiga jentera dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.08 tengah hari menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan serta satu aliran salur bantu mula.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.37 tengah hari selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada bahaya lain,” katanya.
Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian keseluruhan masih dalam siasatan.-DAKWAT RAKYAT POST
