KOTA KINABALU: Status keahlian Masitah atau Jade Juwita perlu dijelaskan dengan bukti bagi menentukan sama ada beliau mempunyai keahlian Parti Warisan (Warisan) sejak 2019 atau hanya diterima sebagai ahli pada 2026.
Aktivis dan penganalisis politik bebas, Atan Leccas, berkata persoalan itu penting kerana ia berkait secara langsung dengan asas kelayakan Masitah untuk bertanding dalam pemilihan parti pada 4 Oktober lalu.
Beliau berkata, penjelasan yang dikemukakan setakat ini masih menimbulkan persoalan mengenai tarikh permohonan, tarikh kelulusan, pembetulan nombor kad pengenalan serta rekod keahlian yang digunakan ketika pencalonan.
Menurutnya, Masitah dilaporkan pernah membuat permohonan keahlian secara dalam talian pada 12 Februari 2019 menggunakan nombor A0245040.
“Persoalannya, adakah nombor itu nombor permohonan atau nombor keahlian yang sudah diluluskan dan apakah tarikh sebenar kelulusan?
“Permohonan sahaja belum membuktikan seseorang sudah diterima menjadi ahli,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Atan turut mempersoalkan kewujudan permohonan kedua pada 21 Ogos 2026 sekiranya keahlian yang dipohon pada 2019 sudah diluluskan dan masih berkuat kuasa.
Katanya, surat Jawatankuasa Pemilihan bertarikh 7 Oktober 2026 yang dimaklumkan kepadanya turut menyebut mengenai ralat pada digit kod negeri dalam nombor kad pengenalan.
“Perlu dijelaskan sama ada ralat itu berlaku pada rekod 2019 atau rekod 2026 supaya kedua-dua permohonan tidak dicampuradukkan,” katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa juga perlu menjelaskan nombor keahlian yang digunakan dalam borang pencalonan serta rekod yang dijadikan asas bagi menentukan kelayakan Masitah bertanding.
Atan berkata antara perkara yang perlu didedahkan ialah tarikh semakan kelayakan dibuat, rekod keahlian yang digunakan, tarikh kuat kuasa keahlian yang diiktiraf dan peruntukan peraturan pemilihan yang digunakan.
Mengulas surat pengesahan bertarikh 7 Oktober 2026, beliau berkata tarikh surat yang dikeluarkan selepas pemilihan dan selepas isu berkenaan dipersoalkan tidak semestinya membuktikan berlaku penipuan.
Bagaimanapun, katanya, perlu dijelaskan sama ada pengesahan itu dibuat berdasarkan semakan yang telah dilaksanakan sebelum pemilihan atau semakan baharu selepas pertikaian timbul.
Atan turut meminta penjelasan mengenai dakwaan bahawa Masitah pernah menyatakan dalam satu siaran langsung TikTok beberapa bulan lalu bahawa beliau merupakan penyokong parti dan bukan ahli.
Katanya, rakaman penuh perlu dirujuk bagi menentukan konteks sebenar kenyataan berkenaan.
“Saya tidak membuat kesimpulan bahawa berlaku penipuan, tetapi persoalan ini tidak boleh diselesaikan hanya dengan penjelasan tanpa dokumen sokongan.
“Jika keahlian diluluskan pada 2019, tunjukkan rekod kelulusan tersebut serta hubungannya dengan rekod 2026,” katanya.
Atan berkata sekiranya 21 Ogos 2026 merupakan tarikh kelulusan pertama, maka permohonan pada 2019 sahaja tidak membuktikan keahlian telah diluluskan sejak tahun berkenaan.
Sebaliknya, jika rekod 2026 hanya merupakan pembetulan, katanya, jejak pindaan dan asas pengiktirafan tarikh keahlian asal perlu ditunjukkan.
Beliau menegaskan penjelasan berasaskan dokumen penting bagi memastikan proses pemilihan dapat difahami dengan jelas serta melindungi kepentingan calon, jawatankuasa dan ahli parti.
