TAWAU: Datang seawal jam 6 pagi bagi meletakkan kenderaan sebelum berkongsi kereta ke tempat kerja lain, sedangkan ruang parkir itu diperlukan pesakit dan pelawat Hospital Tawau.
Itu antara penyalahgunaan kawasan parkir hospital yang dibangkitkan Timbalan Pengarah Hospital Tawau, Datuk Dr Azman Ibrahim, ketika mengulas keperluan pengurusan lebih teratur susulan cadangan mengenakan caj parkir.
Beliau berkata, tindakan individu tidak bertanggungjawab meninggalkan kenderaan di situ sepanjang mereka bekerja di lokasi lain mengehadkan ruang kepada orang ramai yang berurusan dengan hospital.
“Ada orang awam seawal jam 6 pagi datang meletakkan kenderaan di sini dengan buat carpool (berkongsi kenderaan) ke tempat kerja.
“Semua kereta ditinggalkan di sini dan mereka menggunakan satu kereta sahaja pergi kerja,” katanya ketika ditemui Dakwat Rakyat.
Beliau berkata, masalah kebersihan turut membebankan pihak hospital apabila kakitangan hospital terpaksa dikerahkan setiap bulan untuk membersihkan tiga kawasan parkir utama.
Katanya, aspek keselamatan juga memerlukan perhatian berikutan pernah berlaku kejadian kecurian tayar, kecurian kenderaan dan pecah masuk kereta di kawasan berkenaan.
“Selain keselamatan kenderaan, kita juga bimbang mengenai keselamatan kakitangan. Ada kakitangan yang pulang bekerja pada waktu malam diganggu oleh individu tidak dikenali.
“Kakitangan hospital juga pernah kena gigit anjing di kawasan itu. Jadi, wajarlah wujudnya parkir berbayar supaya aspek keselamatan, kebersihan dan penyalahgunaan parkir dapat ditangani sebaiknya,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna, Haris @ Mohd Janani, 53, yang berkunjung ke Hospital Tawau bagi menghantar anaknya menjalani rawatan berpandangan, parkir berbayar wajar sekiranya dapat meningkatkan keselamatan dan kebersihan kawasan berkenaan.
Beliau yang berasal dari Semporna turut berkongsi pengalaman mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mendapatkan petak parkir kosong.
“Bagi saya ada pro dan kontra. Kalau berbayar, saya setuju kerana mungkin ada penjagaan dari segi keselamatan pengguna, ada kakitangan yang akan menjaga kawasan parkir,” jelasnya.-DAKWAT RAKYAT POST
