KUALA LUMPUR: Usahawan Malaysia, terutama dalam kalangan komuniti perniagaan India, disaran memperluas operasi ke pasaran Afrika dengan memanfaatkan hubungan perdagangan antarabangsa serta kelebihan Mauritius sebagai pusat kewangan dan perdagangan serantau.
Presiden Dewan Perniagaan BRICS-ASEAN, Thayalan Nathan, berkata kerjasama antara negara anggota dan rakan perdagangan melalui BRICS-ASEAN berupaya membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk serta perkhidmatan di peringkat global.
Menurutnya, pasaran Afrika mempunyai potensi yang besar, termasuk dengan kehadiran lebih 10 juta penduduk berketurunan India di benua itu, sekali gus menyediakan peluang kepada produk berteraskan tradisi dan budaya India serta barangan keluaran Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Festival Beli-Belah BRICS ASEAN Deepavali 2026 di KL Sentral, di sini, Selasa.
Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Mauritius ke Malaysia, Rabin Gungoo, serta Pengerusi Penganjur Festival Beli-Belah BRICS ASEAN Deepavali 2026, D.P. Ganaa.
Thayalan berkata, Mauritius boleh berperanan sebagai laluan strategik kepada syarikat tempatan yang berhasrat memasuki pasaran Afrika, khususnya melalui hubungan perniagaan dan kerjasama perdagangan dengan negara anggota serta rakan BRICS.
Katanya, Dewan Perniagaan BRICS-ASEAN mempunyai perwakilan dari lima negara anggota BRICS dan 11 negara anggota ASEAN, yang secara keseluruhan merangkumi kira-kira empat bilion penduduk dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi AS$28 trilion.
Sementara itu, Gungoo berkata, Mauritius menawarkan peluang kepada usahawan Malaysia untuk menjadikan negara kepulauan itu sebagai pusat operasi bagi mengembangkan perniagaan ke pasaran Afrika.
Menurutnya, kelebihan Mauritius merangkumi kemudahan perdagangan, sistem kewangan yang menyokong penggunaan pelbagai mata wang serta rangkaian perjanjian perdagangan yang membolehkan akses lebih luas ke pasaran serantau.
Beliau berkata, hubungan Mauritius dengan negara anggota Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) dan Pasaran Bersama bagi Afrika Timur dan Selatan (COMESA) turut memberi kelebihan kepada pelabur yang mahu meneroka peluang perniagaan di benua berkenaan.
“Bagi peniaga Malaysia yang mahu meneroka pasaran Afrika, Mauritius ialah batu loncatan terbaik.
“Peniaga Malaysia boleh bekerjasama dengan peniaga Mauritius untuk menembusi pasaran Afrika, selain memanfaatkan kemudahan perdagangan yang tersedia,” katanya.
Gungoo berkata, Mauritius turut menyediakan kemudahan zon perdagangan bebas, insentif pelaburan dan kawasan khusus untuk kegiatan perindustrian, disokong kerangka perundangan serta kewangan yang membantu urusan perniagaan.
Selain itu, katanya, Mauritius mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam industri gula, termasuk teknologi pemprosesan serta kejuruteraan yang turut mendapat pasaran di beberapa negara Afrika.
Beliau berkata, sektor pelancongan dan ekonomi biru juga berpotensi dikembangkan berdasarkan kedudukan strategik Mauritius di Lautan Hindi.
Dalam perkembangan lain, Gungoo memaklumkan Mauritius dijadual menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Perdagangan Amerika Syarikat-Afrika pada 15 hingga 17 Disember ini.
Persidangan itu dijangka menghimpunkan ahli perniagaan dan pemimpin dari kedua-dua rantau bagi membincangkan hubungan perdagangan serta peluang kerjasama ekonomi.
Mengulas penganjuran Festival Beli-Belah BRICS ASEAN Deepavali 2026, Thayalan berkata, acara itu merupakan inisiatif awal untuk mempertemukan peniaga Malaysia dengan pengusaha dan pengilang dari India bagi memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada kumpulan pengguna yang lebih luas.
Katanya, penganjuran festival berkenaan turut memberi peluang kepada usahawan tempatan, khususnya komuniti perniagaan India, untuk melangkah ke pasaran antarabangsa dan tidak hanya bergantung pada karnival jualan yang diadakan sempena perayaan di lokasi tertentu.
“Ini adalah eksperimen pertama kami dan mungkin tahun depan kami akan melakukannya dengan lebih baik,” katanya.
Menurutnya, pemilihan KL Sentral sebagai lokasi acara dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik serta jumlah pergerakan penumpang yang tinggi, iaitu kira-kira 180,000 orang sehari.
Pihak penganjur turut menyasarkan kehadiran purata 3,000 pembeli India setiap hari sepanjang festival berlangsung.
Terdahulu, ketika berucap pada festival berkenaan, Gungoo berkata, Deepavali membawa pengertian kemenangan kebaikan terhadap kejahatan, cahaya mengatasi kegelapan dan harapan mengatasi keputusasaan.
Katanya, nilai belas kasihan, keharmonian, keamanan dan semangat saling membantu yang terkandung dalam perayaan itu amat penting dalam menghadapi cabaran dunia masa kini, termasuk konflik, diskriminasi, penyebaran maklumat tidak benar dan masalah alam sekitar.
“Dunia bukan sahaja memerlukan kemajuan teknologi, malah turut memerlukan belas kasihan, kefahaman, kejujuran dan manusia yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar menyambut Deepavali secara berhemah dengan mengurangkan pembaziran, tidak menggunakan bunga api secara berlebihan dan memastikan kebersihan persekitaran sentiasa terpelihara.
Gungoo turut menghargai usaha penganjur festival dalam mengekalkan budaya, tradisi dan nilai masyarakat India, yang menurutnya memainkan peranan penting dalam membentuk identiti serta mengukuhkan rasa kebersamaan dalam komuniti.
Penganjuran festival itu bukan sahaja menjadi ruang untuk memeriahkan sambutan Deepavali, malah berpotensi memperkukuh hubungan perniagaan dan membuka peluang baharu kepada usahawan Malaysia untuk meneroka pasaran antarabangsa. – DAKWAT RAKYAT POST
