TAWAU: Krisis bekalan air yang berlarutan hampir sebulan di beberapa kawasan di sini bukan sahaja menyukarkan penduduk, malah menyebabkan pengusaha hotel menanggung kerugian sehingga RM30,000, manakala sebuah restoran terpaksa menghentikan operasi selama tiga hari berturut-turut.
Pengusaha hotel, Dr Istefan Koh berkata, beliau terpaksa membelanjakan antara RM1,000 hingga RM1,600 sehari untuk mendapatkan bekalan air bagi memastikan operasi hotel terus berjalan.
Menurutnya, gangguan bekalan air yang memasuki minggu ketiga itu memaksanya membeli air atau mendapatkan bantuan lori tangki bagi memenuhi keperluan tetamu.
“Kadang-kadang sehari boleh mencecah RM1,600 dan ada masanya RM1,000. Jika sudah tiga minggu, kerugian boleh mencecah RM20,000 hingga RM30,000.
“Walaupun hotel masih menerima tetamu, bekalan air perlu dipastikan mencukupi kerana ia keperluan asas yang tidak boleh diketepikan,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Beliau berkata, masalah itu turut menjejaskan pengusaha restoran dan perniagaan lain yang bergantung kepada bekalan air untuk menjalankan operasi harian.
Katanya, beliau berharap Jabatan Air dapat mencari penyelesaian segera kerana masalah berkenaan didakwa sudah berlarutan sejak sekian lama di kawasan terbabit.
Menurutnya, ketiadaan bekalan air bukan sahaja menjejaskan kelangsungan perniagaan, malah menyukarkan perancangan pembangunan kemudahan baharu di kawasan berkenaan.
Sementara itu, pengusaha restoran, Tiong Kim Fah berkata, perniagaannya terpaksa ditutup selama tiga hari berturut-turut berikutan ketiadaan air yang menjejaskan kebersihan premis dan peralatan memasak.
Katanya, sepanjang hampir sebulan berdepan masalah itu, bekalan air hanya diterima sebanyak tiga kali dan tekanan air juga lemah.
“Perniagaan memang sangat terjejas. Tandas berbau, peralatan tidak dapat dicuci dan kami tidak boleh mengambil mudah soal kebersihan.
“Saya belum mampu membeli air kerana harganya boleh mencecah RM100 hingga RM200. Sebab itu saya terpaksa menutup perniagaan,” katanya.
Beliau turut mendakwa berdepan kesukaran mendapatkan bantuan bekalan air, selain terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan air dalam kuantiti terhad.
Bagi penduduk, Anilo Siso Rodriguez berkata, keluarganya sudah dua minggu berdepan masalah ketiadaan bekalan air dan terpaksa berulang-alik sehingga lima kali sehari untuk mendapatkan air bagi kegunaan harian.
Katanya, air berkenaan digunakan untuk memasak dan keperluan rumah, manakala lokasi pengambilan air yang disediakan secara percuma sedikit sebanyak membantu meringankan beban penduduk.
“Selagi air belum pulih, begitulah rutin kami setiap hari. Walaupun air boleh diperoleh tanpa bayaran, kami tetap perlu mengeluarkan wang untuk minyak kenderaan.
“Masalah tahun ini lebih teruk berbanding sebelum ini kerana gangguan biasanya hanya berlaku selama dua atau tiga hari, atau paling lama seminggu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Apas, Muhammad Mehdi Mohamad Mohidin berkata, proses pemulihan loji air di kawasan Jalan Utara dan Balung sedang dilaksanakan, namun masih terdapat kawasan yang belum menerima bekalan.
Menurutnya, unit PPM DUN Apas meneruskan usaha menyalurkan bantuan air menggunakan lori tangki dengan kerjasama agensi seperti bomba serta individu yang sudi meminjamkan kenderaan bagi tujuan berkenaan.
Katanya, tangki air turut ditempatkan di lokasi strategik bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan, selaras dengan saranan dan arahan Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
“Buat masa ini, keutamaan diberikan kepada masyarakat setempat. Bagaimanapun, peniaga yang memerlukan bantuan boleh menghubungi pihak kami untuk mendapatkan pertimbangan,” katanya.
Beliau berkata, bantuan penghantaran air akan diteruskan kepada penduduk terjejas sementara menunggu pemulihan bekalan di kawasan berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
