TAWAU: Bekas Ketua Staf Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mat Zaki Md Zain mendakwa keadaan kesihatannya merosot sehingga menjadi kritikal selepas beberapa bulan ditahan di bilik gelap Blok Insaf, Penjara Tawau, susulan siasatan kes pembunuhan seorang pemandu e-hailing, tiga tahun lalu.
Mat Zaki, 62, yang berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC), memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa kemerosotan kesihatannya berkait dengan penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang kronik termasuk mendakwa ubat serta diet yang dibekalkan kepadanya ketika itu tidak sesuai.
Plaintif pertama yang tampil sebagai saksi ke-11 dalam perbicaraan saman sivil itu berkata, keadaan kesihatannya itu juga menjadi alasan permohonan jaminan yang dikemukakan melalui peguamnya sekitar Julai 2023.
“Sekitar Julai 2023 melalui peguam saya Datuk Ram Singh dan Tuan Kamarudin telah mengemukakan permohonan untuk bon jaminan di atas alasan kondisi kesihatan saya ketika itu yang telah merosot, begitu kritikal setelah beberapa bulan ditahan di bilik gelap Blok Insaf Penjara Tawau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Kamarudin Mohmad Chinki dalam pemeriksaan utama di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos.
Menurut Mat Zaki, permohonan jaminan itu dibantah pihak pendakwaan dengan alasan bekalan ubat daripada klinik penjara memadai dan Hospital Tawau boleh menangani keadaan sekiranya berlaku kecemasan.
Katanya, selepas permohonan itu ditolak mahkamah, beliau terus ditahan reman di Blok Insaf sehingga perbicaraan kes jenayahnya pada Januari 2024.
Ketika pemeriksaan balas oleh Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber, Mat Zaki mengakui tidak mempunyai bukti bertulis bagi menyokong dakwaan bahawa penempatannya di ‘bilik gelap’ Blok Insaf berkenaan dibuat atas arahan polis sebagai bentuk “pra-hukuman”.
Bagaimanapun, beliau menolak cadangan pihak defendan bahawa dakwaan itu merupakan andaian tanpa bukti dokumentari.
Mat Zaki turut bersetuju bahawa pegawai polis yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga kelapan tidak memegang kunci, menguruskan sel atau berkuasa menentukan jadual Blok Insaf.
Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa maklumat alibinya sudah diberikan kepada pegawai penyiasat sejak awal tangkapan, walaupun notis rasmi difailkan hampir 11 bulan kemudian.
Menurutnya, beliau berada di Semenanjung atas tugas rasmi selama sembilan hari, dengan perjalanan itu bermula dua hari sebelum kejadian yang dirujuk dalam kes berkenaan.
Beliau turut menyenaraikan rekod cop imigresen pada pasport Sabah, tiket penerbangan, manifes penumpang serta saksi perjalanan dan ahli keluarga sebagai bukti berkaitan alibinya.
Ketika pemeriksaan balas SFC Mardziatun, Mat Zaki mengakui notis alibi difailkan pada 28 Disember 2023, selepas beliau ditangkap pada 25 Januari tahun sama.
“Walaupun notis alibi difailkan agak lewat tapi keterangan telah diberikan di awal tangkapan kepada Pegawai Penyiasat kes,” katanya.
Beliau turut mengakui tidak memanggil saksi bebas seperti wakil syarikat penerbangan, pegawai hotel atau pegawai kementerian untuk memberi keterangan dalam prosiding hari ini bagi mengesahkan alibinya.
Mat Zaki bagaimanapun menolak cadangan pihak defendan bahawa tindakan polis memanggil, menangkap dan memohon reman terhadapnya dibuat berdasarkan syak munasabah bagi menyiasat kes pembunuhan.
Pada 15 Ogos 2024 lalu, Mat Zaki bersama tiga bekas anggota unit perisikan terbabit, Fabian anak Rungan, Dennis anak Enit dan Mohd Azlan Sakaran, masing-masing bertindak sebagai plaintif memfailkan tindakan saman RM100 juta terhadap PDRM serta 11 defendan lain.
Dua lagi bekas anggota, Sarjan Khairul Azman Bakar dan Inspektor John Kennedy Anak Sanggah serta isterinya, Vivien Fabian, memfailkan saman pada 30 Jun dan 4 Julai 2025 dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM90 juta terhadap defendan yang sama.
Antara yang dinamakan sebagai defendan ialah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan serta bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, sebagai defendan pertama hingga keempat.
Turut disenaraikan sebagai defendan kelima hingga lapan ialah bekas Ketua Polis Daerah Tawau, Allahyarham Asisten Komisioner Jasmin Hussin, dua bekas pegawai penyiasat kes berkenaan, Asisten Komisioner Ts Dr Mohd Hakim Hashom dan Deputi Superintendan Yusman Shahri Marinsah, serta bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Shafiq Hasim, PDRM, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Kerajaan Malaysia turut dinamakan sebagai defendan kesembilan hingga ke-12.-DAKWAT RAKYAT POST
