KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang menggerakkan pelbagai perancangan strategik bagi mencapai sasaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM100 bilion menjelang 2030 menerusi agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti industri berpotensi untuk dibangunkan, pelaburan yang perlu ditarik serta keperluan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah.
Menurutnya, tumpuan kini adalah memastikan semua perancangan berkenaan dilaksanakan secara berkesan bagi merealisasikan sasaran yang ditetapkan.
“Kita telah mengenal pasti industri yang mahu dibangunkan, pelaburan yang ingin ditarik serta infrastruktur yang diperlukan untuk menyokongnya. Kini, keutamaan adalah untuk memastikan semua perancangan ini dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena majlis perasmian Persidangan Perancangan Tahunan Sabah Energy Corporation (SEC) atau PACE bersama EDGE Summit di Magellan Sutera Resort, di sini, pada Khamis.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, antara keperluan utama untuk merangsang pembangunan industri di Sabah ialah bekalan tenaga yang stabil, boleh dipercayai dan mampu milik bagi memenuhi keperluan pelabur.
Katanya, pelabur yang bercadang membina kilang atau menjalankan operasi berskala besar perlu mendapat kepastian mengenai kemampuan negeri menyediakan bekalan elektrik dan gas yang mencukupi, kos bekalan serta tempoh penyediaannya.
“Ini merupakan persoalan praktikal yang memerlukan jawapan jelas. Pelabur tidak boleh mengoperasikan kilang mereka hanya berdasarkan janji bekalan tenaga pada masa hadapan. Mereka perlu mengetahui apa yang benar-benar mampu kita sediakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga Sabah, meskipun kerajaan negeri turut mempergiat pembangunan sumber tenaga boleh baharu.
Menurutnya, keseimbangan antara peningkatan permintaan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar perlu diberi perhatian bagi memastikan Sabah kekal berdaya saing.
“Kita perlu mengimbangi keperluan tenaga Sabah yang semakin meningkat dengan kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar.
“Terdapat keputusan sukar yang perlu dibuat, namun keputusan ini mesti diambil dengan teliti sekiranya kita mahu Sabah terus kekal berdaya saing,” katanya.
Hajiji turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah mencatatkan kemajuan yang menggalakkan dalam memperkukuh penyertaan Sabah dalam sektor tenaga, yang menjadi antara pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri negeri.-DAKWAT RAKYAT POST
