TAWAU: Mahkamah Majistret di sini hari ini, memerintahkan seorang pengawal keselamatan menjalani perintah khidmat masyarakat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan maklumat palsu kepada pihak polis dengan mendakwa dirinya menjadi mangsa samun, bulan lalu.
Majistret Don Stiwin Malanjum memerintahkan tertuduh Liman Ismail, 44, menyempurnakan perintah itu selama empat jam setiap hari dalam tempoh enam bulan.
Tertuduh turut diperintahkan hukuman bon berkelakuan baik dengan cagaran RM1,000 berserta dua penjamin tempatan.
Berdasarkan pertuduhan, Liman didakwa memberikan maklumat palsu kepada pegawai penyiasat polis, Inspektor Nurul Amira Razali, di Pejabat Pegawai Penyiasat Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, jam 9.44 malam, 7 September lalu.
Dia mendakwa dirinya menjadi mangsa samun sedangkan mengetahui maklumat berkenaan adalah palsu, dengan maksud menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah sehingga mendatangkan bencana atau kegusaran kepada orang lain.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, siasatan polis mendapati kejadian samun yang dilaporkan tertuduh sebenarnya tidak pernah berlaku sebelum dia mengakui laporan berkenaan adalah palsu.
Terdahulu dalam rayuan peguam tertuduh, Jhassary P Kang, memohon hukuman ringan dikenakan dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin, mempunyai empat anak dan bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Peguam itu turut memaklumkan bahawa kesalahan berkenaan adalah kesalahan pertama tertuduh da tertuduh menyesal atas perbuatannya.
Tertuduh turut memberitahu mahkamah bahawa dia membuat laporan palsu kerana takut dibuang kerja selepas berlaku kecurian di tempat kerjanya ketika dia sedang tidur.
Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin kemudian memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh.-DAKWAT RAKYAT POST
