RANAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang disyaki terbabit dalam tiga kes pecah bangunan dan kecurian di daerah ini, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM184,403.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, suspek diberkas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau semalam, hasil siasatan dan risikan.
Beliau berkata, penahanan itu membantu polis menyelesaikan kes yang dilaporkan berlaku antara 4 Oktober hingga 2 November lalu, termasuk kejadian memecah peti simpanan keselamatan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kejadian menunjukkan seorang lelaki memakai penutup muka, baju biru, seluar pendek dan sarung tangan berada di dalam sebuah premis perniagaan.
Menurutnya, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah berkenaan.
Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah kekerasan dan harta benda, selain pernah dijatuhi hukuman.
Suspek juga didapati positif methamphetamine dan amphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing.
Mursalin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan kawalan keselamatan di kediaman dan premis perniagaan masing-masing.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222, manakala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.-DAKWAT RAKYAT POST
