Screenshot
NUNUKAN: Laluan sempadan Sebatik dipercayai sekali lagi digunakan sebagai laluan penyeludupan dadah dari Malaysia ke Indonesia apabila seorang pemuda berusia 24 tahun ditahan polis kerana membawa syabu seberat satu kilogram yang dipercayai untuk dihantar ke Tarakan.
Memetik laporan satukaltara.com,suspek dikenali sebagai MA ditahan di Jalan Hasanuddin RT 001, kawasan Lalo Salo, Desa Seberang, Kecamatan Sebatik Utara, pada Isnin (26 Oktober 2026), kira-kira jam 5 pagi waktu tempatan.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam Polres Nunukan, Ipda Idris berkata, penahanan itu dilakukan susulan maklumat berhubung kegiatan penghantaran syabu melalui laluan tikus di kawasan sempadan Desa Seberang.
Susulan maklumat itu, polis menjalankan siasatan sebelum menahan MA sejurus lelaki terbabit keluar dari kawasan Malaysia.
Hasil pemeriksaan, polis menemukan satu bungkusan plastik besar berwarna hijau bertulis GUANYINWANG yang dipercayai mengandungi syabu dengan berat kasar mencecah satu kilogram.
“Suspek mengaku mengambil dadah berkenaan daripada seseorang yang identitinya belum diketahui di kawasan sempadan Malaysia,” katanya pada Selasa (3 November 2026).
Hasil pemeriksaan awal mendapati MA mendakwa mengambil syabu itu atas arahan rakannya berinisial MS yang berada di Kutai Timur, Kalimantan Timur (Kaltim).
Sebagai upah, MA dijanjikan bayaran 25 juta rupiah untuk membawa dadah berkenaan ke Tarakan dan menyerahkannya kepada seorang individu yang identitinya masih belum diketahui.
Pengakuan itu menunjukkan kemungkinan wujudnya rangkaian penyeludupan dadah merentas negara dan wilayah.
Bagaimanapun, identiti pembekal di Malaysia, individu yang mengarahkan pengambilan dadah serta bakal penerima di Tarakan masih dalam siasatan.
Selain syabu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit Oppo A15s berwarna biru, wang tunai satu juta rupiah dan 150 ringgit Malaysia serta sebuah motosikal Honda Scoopy berwarna putih bernombor pendaftaran KU 2499 NN.
MA bersama semua barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Nunukan untuk tindakan undang-undang lanjut.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 114(2) Undang-Undang Nombor 35 Tahun 2009 mengenai Narkotik atau Seksyen 609(1)(a) Kanun Keseksaan Indonesia-SATU BORNEO
