TAWAU: Dua pemandu lori yang aksi saling mengejar mereka tular di media sosial mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengambil bahagian dalam pertandingan atau ujian kelajuan yang tidak diluluskan, Ogos lalu.
Aswin Bajo, 27, dan Muhamad Syafiq Amran, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda terhadap Aswin.
Muhamad Syafiq pula dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda, dan penjara tiga hari.
Ketika menjatuhkan hukuman terhadap Muhamad Syafiq, Dayang Aidaku menegaskan hukuman penjara itu diberikan supaya dia tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan termasuk mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
Berdasarkan pertuduhan, Aswin sebagai pemandu lori bernombor pendaftaran SU3392H dan Muhamad Syafiq sebagai pemandu lori bernombor pendaftaran SJA7773 didakwa mengambil bahagian dalam pertandingan atau ujian kelajuan yang tidak diluluskan di Jalan Airport, di sini, jam 3.52 petang, 29 Ogos lalu.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Aswin ketika dalam rayuannya memohon supaya hukuman diringankan dan tidak dipenjarakan kerana isterinya sedang sarat mengandung dan kehadirannya sangat diperlukan. Dia turut memohon maaf atas kesalahan dilakukan dan berjanji tidak mengulanginya.
Sementara, Muhamad Syafiq memohon hukuman dikurangkan kerana menjaga kedua-dua ibu bapanya termasuk baharu memperoleh pekerjaan dengan gaji pokok RM700 sebulan.
Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintenden Joan Lee kemudian dalam hujahannya memohon mahkamah memberikan hukuman denda maksimum dan penjara setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan dan kepentingan awam.
Joan menegaskan perbuatan saling mencabar di jalan awam itu dilakukan secara sedar dan mewujudkan risiko serius terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain.
Pendakwaan turut memohon mahkamah mengambil kira unsur pencegahan dan keperluan memberikan pengajaran bagi membendung budaya perlumbaan dan pemanduan berbahaya di jalan raya.
Berdasarkan fakta kes, Muhamad Syafiq memandu sebuah lori kotak jenis Isuzu dari Kota Kinabalu menuju ke daerah ini sebelum melalui persimpangan lampu isyarat Lapangan Terbang Tawau.
Dia kemudian memandu di lorong kiri menghala ke bandar Tawau sebelum memecut, mengubah haluan dan memotong lori dipandu Aswin.
Aswin turut memecut mengejar lori berkenaan untuk mengenal pasti pemandunya sebelum kedua-dua pemandu saling tercabar dan tidak mahu mengalah.
Keadaan itu mencetuskan aksi menduga kelajuan apabila kedua-dua lori memecut dan saling mengejar sehingga ke Bandar Sri Indah.
Perbuatan mereka dirakam menerusi video berdurasi kira-kira 32 saat yang kemudian tular di Facebook menerusi “Page Complaint Sabah” pada hari sama.
Rakaman itu menunjukkan dua lori berkenaan bersaing di Kilometer 27, Jalan Apas, dengan lori dipandu Muhamad Syafiq memotong ke kiri sebelum kembali ke kanan kemudian mencelah antara beberapa kenderaan di hadapan sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain. -DAKWAT RAKYAT POST
