TAWAU: Seorang penyelia ladang dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengambil bahagian dalam ujian kelajuan yang tidak diluluskan, bulan lalu.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap M Iwan Arajilul Karim, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda dan lesen memandunya digantung selama setahun.
Berdasarkan pertuduhan, M Iwan sebagai penunggang motosikal mengambil bahagian dalam ujian kelajuan yang tidak diluluskan di kawasan tepi jalan berhampiran Kedai Wedrink Balung, di sini, kira-kira jam 11.30 malam, 17 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya bagi sabitan kali pertama.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau , Asisten Superintenden Joan Lee memohon hukuman denda maksimum dab penjara yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta amaran kepada individu yang menjadikan jalan raya awam sebagai litar perlumbaan haram.
Dalam hujahannya, beliau berkata, kawasan Balung dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti perlumbaan haram, malah kejadian kematian pernah berlaku di kawasan itu pada 30 Oktober lalu.
Pendakwaan turut berhujah, tindakan tegas perlu diambil terhadap aksi menunggang motosikal secara berbahaya.
Berdasarkan fakta kes, anggota polis yang menjalankan Op Samseng Jalanan di kawasan Apas Balung mengesan tiga motosikal memecut dari lampu isyarat Balung menuju ke pusingan U Ladang Sungai Balung sebelum berpatah balik dengan kelajuan tinggi.
Anggota polis kemudian mengekori motosikal tertuduh sebelum menghampiri dan menahannya di kawasan tepi jalan berhampiran Kedai Wedrink Balung.
Tertuduh bersama motosikal jenis Yamaha Y15 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut.-DAKWAT RAKYAT POST
