KOTA KINABALU: Pendidikan kemahiran berupaya melahirkan usahawan tempatan dan membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga, khususnya dalam kalangan wanita serta masyarakat luar bandar.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag berkata, Kerajaan Negeri memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berkata, program kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam bidang jahitan, masakan, dandanan diri dan seni tangan terbukti mampu membuka peluang kepada peserta untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Kemahiran yang dimiliki pada hari ini bukan sekadar sekeping sijil, tetapi merupakan aset bernilai yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan, meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mini Konvokesyen Pendidikan Kemahiran dan Pembangunan Insan KEMAS Daerah Tuaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Juliah berkata, pembangunan modal insan perlu merangkumi pembangunan insan secara menyeluruh, termasuk aspek kerohanian, selain penyediaan kemudahan fizikal dan infrastruktur.
Katanya, keseimbangan ilmu, kemahiran, kekuatan rohani dan akhlak mulia penting bagi membina keluarga sejahtera serta komuniti harmoni yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Juliah, yang juga Yang Dipertua MUTIARA GRS, berharap peserta menggunakan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk memulakan perniagaan serta tidak takut menceburi bidang keusahawanan.
Beliau turut menggalakkan peserta memanfaatkan platform digital bagi meluaskan pasaran, selain terus berinovasi dan kreatif dalam menghasilkan produk serta menawarkan perkhidmatan berkualiti.
Katanya, konvokesyen itu bukan titik akhir dalam perjalanan menimba ilmu, sebaliknya permulaan kepada peluang lebih luas untuk terus maju dan berjaya.-DAKWAT RAKYAT POST
