KOTA KINABALU: Keselamatan pelancong perlu menjadi tanggungjawab bersama seluruh ekosistem pelancongan Sabah bagi memastikan pengalaman pengunjung kekal selamat dan berkualiti menjelang Visit Sabah 2027.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman berkata, tanggungjawab itu perlu digalas agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pengusaha pelancongan serta penyedia perkhidmatan penginapan, aktiviti dan pengangkutan.
“Aspek keselamatan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada kualiti sesuatu destinasi pelancongan dan atas sebab itu, keselamatan pelancong tidak boleh diletakkan atas bahu satu pihak sahaja,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr Ahemad Sade, ketika merasmikan NIOSHCert International Standards Seminar 2026 (NISS 2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Bertemakan “Safe Adventure Experiences, Trusted Destinations”, seminar anjuran NIOSH Certification Sdn Bhd (NIOSHCert) itu mengetengahkan penerapan standard bagi memperkukuh keselamatan, kualiti perkhidmatan dan keyakinan pelancong terhadap destinasi.
Zainudin berkata, usaha meningkatkan ketibaan pelancong perlu seiring dengan kesiapsiagaan industri menyediakan pengalaman selamat dan berkualiti, sekali gus menggalakkan kunjungan semula serta perkongsian positif.
Beliau berkata, keberkesanan standard bergantung pada pelaksanaannya melalui penyelarasan dasar, pengawasan pihak berkuasa tempatan dan amalan keselamatan yang konsisten dalam operasi harian.
Sementara itu, Pengerusi NIOSHCert, Dato’ Haji Ayop Salleh berkata, keselamatan pelancongan perlu ditangani secara menyeluruh, daripada perancangan aktiviti hingga perkhidmatan sokongan yang membentuk pengalaman pelancong.
Katanya, aspek itu merangkumi pengurusan destinasi, pengenalpastian risiko, kompetensi pengendali, penyampaian maklumat kepada peserta serta perkhidmatan hospitaliti dan pengangkutan.
Ayop berkata, NISS 2026 menjadi medan menghubungkan standard dengan pengalaman operasi sebenar dan cabaran pelaksanaan, khususnya dalam kepelbagaian produk pelancongan alam semula jadi serta kembara di Sabah.
Seminar sehari itu membincangkan standard MS ISO 21101 berkaitan sistem pengurusan keselamatan pelancongan kembara, MS ISO 21102:2020 mengenai kompetensi pemimpin aktiviti dan ISO 39001 bagi pengurusan keselamatan lalu lintas jalan raya dalam perkhidmatan pengangkutan pelancong.
Program turut merangkumi sesi mengenai kesiapsiagaan peserta, taklimat keselamatan dan peranan sektor hospitaliti, selain kajian kes, simulasi serta perbincangan berasaskan situasi operasi sebenar.
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai Mei Sing turut menyampaikan ucaptama, manakala beberapa wakil industri dan agensi berkongsi pengalaman dalam sesi seminar serta forum.-DAKWAT RAKYAT POST
