KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Ijuk, di sini, ditemukan meninggal dunia di Sungai Kadamaian pagi tadi.
Mangsa, Tiklum Santan, 87, ditemukan terapung berhampiran Jambatan Tempasuk, Kampung Lebak Engad, kira-kira jam 7.15 pagi oleh orang awam yang membantu operasi pencarian.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, ahli keluarga menyedari mangsa tiada di rumah kira-kira jam 4 petang semalam sebelum mencarinya di sekitar kampung.
Katanya, kira-kira jam 7 malam, ahli keluarga menemukan pakaian dan selipar mangsa di tepi Sungai Kadamaian, kira-kira 150 meter dari rumahnya.
Penemuan itu menimbulkan kebimbangan mangsa terjatuh ke sungai sebelum ahli keluarga membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan pencarian.
Khairul Shah berkata, siasatan awal mendapati mangsa mempunyai kebiasaan mandi di sungai berkenaan setiap hari kecuali ketika banjir.
Susulan laporan diterima, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pencarian yang turut dibantu ahli keluarga dan penduduk kampung.
Mangsa ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi pakaian dan seliparnya dijumpai.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut.
Menurut Khairul Shah, mangsa dipercayai lemas ketika mandi di sungai berkenaan, namun punca sebenar kematian masih dalam siasatan.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).-DAKWAT RAKYAT POST
