KUALA LUMPUR: Hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan Taiwan kekal baik serta tidak terjejas meskipun kenyataan Malaysia berhubung pendirian Dasar Satu China sebelum ini menimbulkan keresahan dalam kalangan pihak tertentu di wilayah itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak pernah berganjak daripada pendirian Dasar Satu China yang menjadi dasar negara sejak 1974, ketika ia diumumkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Menurutnya, kerajaan terus mengalu-alukan pelaburan dari Taiwan, khususnya dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan cip yang menjadi antara bidang tumpuan ekonomi negara.
“Dasar kita tak berganjak. Dasar Malaysia sejak 1974 dan kerajaan sekarang mengakui Dasar Satu China.
“Sebab itu tidak ada kedutaan, kalau adapun hanya Pejabat Perdagangan. Tidak ada pejabat rasmi sampai sekarang,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (BERSATU-Langkawi) yang meminta kerajaan mengesahkan laporan berita bertajuk ‘Taiwan Sahkan Gantung Rundingan Pelaburan dengan Malaysia’ susulan kenyataannya yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China.
Anwar menjelaskan, perkara yang ditangguhkan sebelum ini bukan rundingan pelaburan seperti dilaporkan, sebaliknya mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi (Economic Cooperation Committee).
Katanya, kerajaan sudah merujuk perkara itu kepada pihak berkaitan bagi meminta mesyuarat berkenaan diteruskan, termasuk menerusi Jawatankuasa Kerja Perdagangan (Trade Working Committee) dan Jawatankuasa Kerja Pelaburan (Investment Working Committee).
Beliau turut memaklumkan hubungan perdagangan kedua-dua pihak masih menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah dagangan Malaysia-Taiwan bagi tempoh Januari hingga September 2026 mencecah RM254.21 bilion.
“Berapa eksport kita ke Taiwan? RM116.58 bilion. Berapa import? RM137.67 bilion.
“Maknanya eksport kita meningkat 88 peratus, import 24.2 peratus. Jadi jumlah perdagangan itu besar, RM254.21 bilion,” katanya.
Menurutnya, pelaburan Taiwan di Kedah juga sudah mencecah RM813.2 juta, selain terdapat pelaburan baharu dan perbincangan berkaitan pelaburan yang masih diteruskan.
Menjawab soalan tambahan Mohd Suhaimi mengenai sama ada kerajaan mempunyai garis panduan atau mekanisme penilaian impak ekonomi sebelum sesuatu kenyataan diplomatik dibuat, Anwar berkata, kepentingan ekonomi dan pelaburan negara sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
Beliau mengakui kenyataan tegas Malaysia mengenai Dasar Satu China mungkin tidak disenangi sesetengah pihak di Taiwan, namun menegaskan perkara itu perlu dibezakan daripada hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi.
“Tuntulah kenyataan-kenyataan itu tidak menyenangkan sesetengah pihak di Taiwan. Cuma saya nak tegaskan bagi kita, hubungan dagang, pelaburan, itu tak terjejas, malah kita mengalu-alukan pelaburan dari Taiwan,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia akan terus mempermudah proses pelaburan dari Taiwan, terutama dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta teknologi berkaitan AI yang menjadi antara sektor penting dalam pembangunan ekonomi negara.
“Pelaburan daripada Taiwan itu penting. Seperti saya sebut tadi, peningkatannya itu 88 peratus eksport kita.
“Setakat ini kita akan ambil apa saja langkah yang perlu untuk menentukan hubungan dagang dan pelaburan dengan Taiwan itu kekal baik tanpa mengorbankan prinsip kita tentang kebebasan dan kemerdekaan negara, pendirian yang telah kita tegaskan sejak 1974,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
