NEPAL: Tiga peserta dari Sabah mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya menakluki Thorong La Pass, laluan pendakian terkenal dalam rangkaian Annapurna Circuit Trek di Nepal, pada 8 November lalu.
Mereka terdiri daripada Roslyn, 37, selaku penganjur program daripada agensi pelancongan, Preshilla, 36, serta Juani Bigul, 40, yang merupakan Malim Gunung Kinabalu.
Ketiga-tiga peserta berjaya tiba di puncak Thorong La Pass pada jam 10.50 pagi waktu Nepal, dengan ketinggian 5,416 meter dari aras laut.
Kejayaan itu lebih bermakna apabila mereka terpaksa berdepan keadaan cuaca yang amat mencabar, termasuk suhu mencecah -23 darjah Celsius serta cabaran fizikal akibat altitud tinggi.
Bagaimanapun, dengan semangat, ketahanan fizikal dan keazaman yang tinggi, mereka bukan sahaja berjaya menamatkan pendakian malah turut menyempurnakan perjalanan turun dengan selamat.
Pencapaian Juani turut membawa keistimewaan tersendiri memandangkan beliau sudah mengenali dunia pendakian sejak kecil sebelum meneruskan penglibatan sebagai Malim Gunung Kinabalu.
Kejayaan itu sekali gus menjadi satu pengalaman berharga buat ketiga-tiga peserta, selain membawa semangat pendakian dari Sabah Borneo hingga ke pergunungan Himalaya.
Mount Kinabalu Adventure & Travel Sdn. Bhd. (MKA) turut merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan berkenaan yang mencerminkan keberanian, ketabahan dan semangat luar biasa dalam menghadapi cabaran pendakian di peringkat antarabangsa.
Kejayaan menakluki Thorong La Pass bukan sekadar pencapaian peribadi, malah menjadi satu kenangan membanggakan yang mengangkat semangat pengembaraan anak Sabah ke persada dunia. – DAKWAT RAKYAT POST
