KLUANG: Polis sedang mengesan individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian menganiaya seekor kucing selepas satu video memaparkan haiwan itu diikat pada leher dan digantung di luar tingkap sebuah kenderaan pacuan empat roda tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin bin Mohd Noh, berkata pihaknya mengesan video berdurasi tujuh saat yang dimuat naik di laman Facebook This Is Johor kira-kira jam 6.30 petang, 12 November lalu.
Menurutnya, video berkenaan memaparkan seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda mengikat leher seekor kucing menggunakan tali sebelum menggantung haiwan itu di luar tingkap kenderaan ketika melalui kawasan Batu 2, Jalan Mersing, di sini.
Berikutan penularan video tersebut, satu laporan polis dibuat menerusi Kluang Repot 22016/2026.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku seperti yang dipaparkan dalam video, iaitu seekor kucing diikat pada bahagian leher menggunakan tali dan digantung di luar tingkap kenderaan pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan.
Bahrin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Beliau berkata, pihak polis masih menjalankan usaha mengesan suspek bagi membantu siasatan lanjut.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerusi talian 07-778 4222, talian hotline 07-776 6822, talian terus 07-778 4256 atau tablet DCC di talian 014-365 6822.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan siasatan kes berkenaan kepada pihak polis.-DAKWAT RAKYAT POST
