TAWAU: Polis sedang giat memburu dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes curi motosikal selepas kenderaan itu ditinggalkan di Jalan Tanjung Batu Laut, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, anggota Strike Team Balai Polis Tawau yang menjalankan Operasi Ronda Cegah Jenayah terserempak dengan dua suspek yang menaiki sebuah motosikal jenis Honda Wave tanpa nombor pendaftaran.
“Kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis dan meninggalkan motosikal itu bersama dua kotak besar di tengah jalan.
“Hasil semakan menerusi sistem Integrated Police Reporting System (iPRS) mengesahkan motosikal berkenaan mempunyai kaitan dengan satu laporan kes kecurian motosikal yang dilaporkan hilang pada 9 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Rosdi berkata, pemeriksaan terhadap kedua-dua kotak itu menemukan pelbagai barangan disyaki hasil curi.
“Sebanyak tujuh kampit beras seberat lima kilogram (kg) setiap satu, 12 kg gula, 12 botol kicap soya pekat manis, sebotol minyak masak dan sebuah penguat audio.
“Semua barangan berkenaan dirampas dan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, polis turut mengenal pasti dan mengesan kedua-dua lelaki itu termasuk menyiasat kemungkinan motosikal serta barangan yang ditemukan mempunyai kaitan dengan kes jenayah lain.-DAKWAT RAKYAT POST
