TAIPING: Seorang lelaki berusia 36 tahun mengalami kecederaan pada kaki kiri ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Larut, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan sehingga menyukarkannya untuk bergerak sebelum operasi menyelamat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Bomba Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.42 pagi.
Jentera bomba tiba di lokasi empat minit kemudian, iaitu pada jam 8.46 pagi, selepas menempuh jarak kira-kira tiga kilometer dari balai.
Mangsa ditemukan kira-kira 1.5 kilometer dari laluan masuk bukit, pada ketinggian sekitar 100 meter.
Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping serta BBP Kamunting kemudian memberikan rawatan awal sebelum membawa mangsa turun menggunakan pengusung.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Operasi diketuai PBK I Nor Hisham bin Abd Rashid selaku Komander Operasi dengan kekuatan 15 anggota, selain dibantu jentera FRT, CFRT, Hilux dan EMRS.
Operasi menyelamat itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.34 pagi.
JBPM Negeri Perak turut menegaskan komitmennya untuk terus memberikan perkhidmatan menyelamat yang pantas, cekap dan profesional demi keselamatan masyarakat.-DAKWAT RAKYAT POST
