KUALA MUDA: Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi terbongkar selepas serbuan menerusi Op Taring Bravo 1 di sebuah premis di kawasan perindustrian di Kedah, yang membawa kepada penahanan empat individu serta rampasan diesel dan peralatan bernilai keseluruhan RM1.07 juta.
Operasi kira-kira jam 11.30 malam itu dilaksanakan oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.
Komander WCB/PSK, SAC Datuk Mohd Zaki bin Ashar berkata, empat individu yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing.
Menurutnya, kesemua mereka dipercayai mempunyai peranan berbeza dalam kegiatan berkenaan, termasuk sebagai pemandu lori, pekerja dan pemilik premis.
“Hasil pemeriksaan di lokasi, pihak berkuasa merampas beberapa kenderaan, tangki simpanan serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
“Jumlah keseluruhan diesel yang disyaki dirampas dianggarkan sebanyak 64,100 liter,” katanya.
Antara rampasan ialah dua lori tangki yang masing-masing mengandungi kira-kira 4,500 liter dan 14,000 liter diesel, selain tiga tangki jenis skid tank yang mengandungi masing-masing 18,000 liter, 13,000 liter dan 14,000 liter diesel.
Turut dirampas sebuah tong IBC mengandungi kira-kira 600 liter diesel, dua unit alat penyedut minyak, dua unit alat penyedut bermeter, tiga telefon bimbit serta beberapa peralatan dan kunci kenderaan.
Nilai sitaan dan rampasan sebenar dianggarkan RM439,085, manakala nilai keseluruhan termasuk komponen berkaitan dianggarkan berjumlah RM1,074,585.
Mohd Zaki berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 berkaitan kesalahan memiliki, menyimpan dan menjual barang kawalan berjadual tanpa permit sah.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 berhubung kesalahan menggaji pendatang asing tanpa izin.
Kesemua individu yang ditahan bersama kenderaan, minyak diesel dan peralatan rampasan diserahkan kepada KPDN Kedah serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Beliau berkata, siasatan akan turut memberi tumpuan kepada peranan setiap individu yang ditahan serta mengenal pasti kemungkinan wujudnya rangkaian atau pihak lain yang mempunyai kaitan dengan kegiatan penyelewengan berkenaan.
WCB/PSK akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan menerusi risikan, pemantauan dan operasi bersepadu bagi membanteras penyelewengan serta penyalahgunaan barang kawalan.
Usaha itu juga merupakan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyokong usaha kerajaan membanteras ketirisan subsidi, melindungi kepentingan ekonomi negara dan memastikan bekalan barang kawalan diuruskan mengikut peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.-DAKWAT RAKYAT POST
