KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sebanyak 17 kes kegiatan lumba haram dan aktiviti menduga kelajuan menerusi Operasi Khas Ekstrem Lumba Haram bagi tempoh 25 Oktober hingga 15 November 2026.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, daripada jumlah itu, 14 kes dikesan di Kuala Lumpur, dua kes di Selangor dan satu kes di Pulau Pinang.
Beliau berkata, sebanyak enam kes sudah dibawa ke mahkamah dengan empat kes dikenakan denda antara RM2,300 hingga RM2,500.
Manakala, dua lagi kes membabitkan pengeluaran waran tangkap.
Operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras kegiatan lumba haram dan aktiviti menduga kelajuan yang boleh mengancam nyawa serta keselamatan pengguna jalan raya.
Penguatkuasaan dilakukan mengikut Seksyen 42A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
JPJ menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan lumba haram dan akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara tegas, berfokus serta berterusan bagi memastikan keselamatan jalan raya terpelihara.- DAKWAT RAKYAT POST.
