SARIKEI: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian kerosakan pada pintu besi sebuah premis perniagaan di Jalan Repok, Sarikei yang dipercayai berpunca daripada tembakan.
Menurut kenyataan media yang dimuat naik menerusi Facebook Polis Daerah Sarikei, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 13 November lalu daripada pemilik premis berkenaan yang terdengar bunyi hentaman sebanyak tujuh kali pada pintu besi kedainya. Pemeriksaan yang dilakukan selepas kejadian menemukan tujuh kesan dipercayai akibat tembakan, namun tiada individu ditemui di lokasi ketika pemeriksaan dijalankan.
Hasil pemeriksaan awal pasukan polis turut menemukan dua serpihan objek yang dipercayai pellet logam di kawasan kaki lima premis berkenaan.
Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati pintu besi itu tidak mengalami kesan tembusan, sebaliknya hanya menunjukkan kerosakan pada bahagian cat.
Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti jenis senjata yang digunakan serta mengesan individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.
Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan motif kejadian masih belum dikenal pasti. Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Mohd Firza Ahmad Fauzi menerusi talian 012-9768277 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Supt Aswandy Anis berkata, pihak polis memandang serius kejadian berkenaan dan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab untuk dibawa ke muka pengadilan.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, khususnya di daerah Sarikei. – DAKWAT RAKYAT POST
