KOTA TINGGI: Seorang anggota polis dari Balai Polis Batu Pahat menjadi antara dua mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 52.5 Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), berhampiran Desaru, awal pagi Isnin.
Allahyarham Sarjan Jorari bin Jusoh dikenal pasti sebagai anggota polis yang terkorban dalam kejadian kira-kira jam 1.49 pagi itu.
Nahas berkenaan turut menyebabkan dua wanita berusia 51 dan 47 tahun cedera, manakala seorang lelaki dewasa yang menaiki sebuah Toyota Unser dilaporkan selamat.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Mohd Hazmi Zulkafli berkata, lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 2.06 pagi.
Menurutnya, kemalangan itu membabitkan sebuah Proton X70, Proton Persona dan Toyota Unser.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 58 tahun yang menaiki Proton X70 serta seorang wanita berusia 26 tahun yang menaiki Proton Persona disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dua wanita yang turut menaiki Proton X70 pula mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan.
Mohd Hazmi berkata, anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan pemotong hidraulik bagi mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan masing-masing.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa selesai sepenuhnya pada jam 3.38 pagi.-DAKWAT RAKYAT POST
