oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi pasukan ResQ UPSI menyantuni 22 keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, di sini, menerusi misi bantuan kemanusiaan yang digerakkan universiti itu.
Misi berkenaan diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, yang turut menyampaikan sumbangan berupa selimut bagi membantu memenuhi keperluan asas mangsa sepanjang tempoh bencana.
Selain menyalurkan sumbangan, pasukan ResQ UPSI turut menggerakkan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terjejas akibat banjir bagi membantu meringankan beban penduduk serta mempercepat usaha pemulihan selepas bencana.
Norkhalid berkata misi itu bukan sekadar bertujuan menyampaikan bantuan, malah mencerminkan tanggungjawab sosial universiti dalam memberikan sokongan kepada masyarakat yang berhadapan dengan kesukaran.
“Sebagai sebuah universiti yang mengangkat nilai kemanusiaan dan kesukarelawanan, UPSI sentiasa komited untuk hadir bersama masyarakat, khususnya ketika mereka berdepan dengan musibah.
“Walaupun sumbangan yang disampaikan mungkin tidak mampu menyelesaikan keseluruhan kesulitan yang dihadapi, kami berharap kehadiran dan keprihatinan warga UPSI dapat memberikan sedikit kelegaan serta menyuntik semangat kepada mangsa untuk terus tabah,” katanya ketika ditemui pada misi bantuan berkenaan.
Selain menyampaikan sumbangan, pasukan ResQ UPSI turut meluangkan masa menyantuni mangsa dan petugas PPS bagi mendapatkan maklumat mengenai keadaan serta keperluan semasa mereka.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, misi bantuan berkenaan mencerminkan penghayatan Jiwa UPSI yang berteraskan nilai kemanusiaan, kasih sayang, keprihatinan dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
“UPSI bukan sekadar berperanan sebagai institusi pendidikan tinggi, malah mempunyai tanggungjawab untuk sentiasa dekat dengan masyarakat. Dalam situasi bencana seperti ini, kehadiran universiti amat penting bagi menunjukkan bahawa komuniti yang terjejas tidak berhadapan dengan musibah ini bersendirian.
Beliau berkata penglibatan warga universiti dalam misi kemanusiaan itu turut membuktikan bahawa nilai Jiwa UPSI perlu diterjemahkan melalui tindakan, khususnya dalam membudayakan semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
“Jiwa UPSI bukan sekadar slogan, tetapi perlu dizahirkan melalui tindakan dan sumbangan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya berharap semangat kesukarelawanan ini terus subur dalam kalangan warga universiti agar UPSI sentiasa menjadi institusi yang prihatin dan bersedia menghulurkan bantuan apabila diperlukan,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
