Oleh: Nasrawati Syarifuddin
PAPAR: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyasarkan lima permohonan Petunjuk Geografi (GI) tempatan dan dua permohonan antarabangsa menerusi Program Petunjuk Geografi MADANI (GI MADANI) tahun depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu bertujuan memperkukuh perlindungan identiti serta keistimewaan produk tempatan, khususnya hasil pertanian yang mempunyai nilai komersial tinggi.
Beliau berkata, tiga produk pertanian tempatan yang sudah dikenal pasti berpotensi didaftarkan ialah Avokado Sabah, Nanas Bario dan Durian Raja Kunyit Tanah Merah.
Menurutnya, pendaftaran Petunjuk Geografi penting bagi memastikan identiti produk tempatan dilindungi daripada penguasaan hak harta intelek oleh pihak luar.
“Pendaftaran Petunjuk Geografi penting bagi memastikan identiti dan keistimewaan produk tempatan terus dilindungi, sekali gus mengelakkan hak harta intelek berkenaan dikuasai pihak luar.
“Kalau ada tanaman-tanaman kita yang begitu meluas ditanam dan mempunyai keistimewaan, tetapi sekiranya lambat dilindungi, pihak luar akan mula mempunyai hak harta intelek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis penutupan program anjuran MyIPO di Sekolah Menengah Kebangsaan Penggalat, di sini, hari ini.
Armizan berkata, pelaksanaan inisiatif itu di Sabah akan membabitkan kerjasama kementerian yang bertanggungjawab dalam sektor pertanian di peringkat Persekutuan dan negeri bagi mengenal pasti produk tempatan yang berpotensi mendapat perlindungan.
Katanya, perlindungan Petunjuk Geografi bukan sahaja dapat memperkukuh reputasi produk, malah meningkatkan nilai komersial serta membuka peluang pasaran lebih luas kepada komuniti pengeluar.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, usaha memperkukuh ekosistem harta intelek negara turut menjadi antara strategi yang digariskan menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), khususnya Strategi A5.2 yang memberi tumpuan kepada peningkatan penciptaan nilai harta intelek.
Katanya, antara sasaran nasional menjelang 2030 ialah meningkatkan permohonan paten oleh warganegara Malaysia kepada 2,000 permohonan selain meletakkan negara dalam kelompok 20 teratas Indeks Inovasi Global (GII).
“Malaysia kini berada pada kedudukan ke-34 dalam Global Innovation Index 2025.
“MyIPO akan terus mempergiat program pembangunan kapasiti, memperluas akses pembiayaan, mempercepat pengkomersialan harta intelek serta memperkukuh perlindungan dan pemilikan aset harta intelek tempatan,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST.
