KOTA KINABALU: Kegiatan penyimpanan dan pengedaran minuman keras yang disyaki tidak bercukai kastam di Sabah dipercayai didalangi sindiket terancang dengan rangkaian pembekalan serta pengedaran yang masih dalam siasatan polis.
Kegiatan itu terbongkar susulan enam siri operasi penguatkuasaan menerusi Op Taring Alpha 2 dan Op Taring Alpha 5 yang dilaksanakan di sekitar Kota Kinabalu, Manggatal, Inanam, Putatan, Tamparuli dan Penampang antara 22 hingga 27 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, keseluruhan operasi itu berjaya merekodkan rampasan bernilai RM16.88 juta membabitkan minuman keras tidak bercukai kastam, produk makanan, kesihatan dan kosmetik serta kenderaan.
Katanya, rampasan terbesar direkodkan menerusi serbuan di sebuah premis di Penampang pada 27 Oktober lalu dengan nilai keseluruhan hampir RM14 juta.
Dalam serbuan itu, polis merampas 433,296 tin minuman keras pelbagai jenis dan jenama, selain dua lori serta dua van dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM13.98 juta.
Tiga lelaki warga asing berusia lingkungan 30 hingga 40-an yang dipercayai bekerja di premis berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, rampasan minuman keras daripada keseluruhan enam operasi itu mencatatkan nilai RM14.95 juta, manakala produk makanan, kesihatan dan kosmetik berjumlah RM675,112 serta kenderaan sebanyak RM1.25 juta.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Mess Pegawai Ibu Pejabat Briged Sabah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kinarut, di sini, hari ini.
Mohd Yusri berkata, siasatan awal mendapati premis di Penampang itu dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan sementara sebelum bekalan minuman keras diedarkan ke pasaran.
Katanya, bekalan bagi beberapa premis pula dipercayai diperoleh daripada pembekal tempatan dan luar negara sebelum dipasarkan kepada pelanggan.
“Apa yang lebih membimbangkan, terdapat premis yang dipercayai sudah menjalankan kegiatan perniagaan berkenaan sejak dua hingga 16 tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, polis kini mempergiat usaha mengesan keseluruhan rangkaian sindiket termasuk pembekal, pengimport, penyimpan dan pengedar yang dipercayai terbabit.
Dalam perkembangan sama, Op Taring Alpha 2 turut membawa kepada rampasan 1,485 botol minuman keras bernilai RM742,500 dalam serbuan di Manggatal pada 22 Oktober lalu.
Operasi di Tamparuli pada 26 Oktober pula menyaksikan rampasan 22,320 tin minuman keras pelbagai jenama serta tiga lori dengan nilai keseluruhan RM1.48 juta.
Secara keseluruhan, tiga siri serbuan menerusi Op Taring Alpha 2 merekodkan nilai rampasan RM16.20 juta.-DAKWAT RAKYAT POST
