TAWAU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) bersedia memperluas kerjasama dalam menjayakan program khatam al-Quran di sekolah bagi membentuk generasi muda yang mencintai dan menghayati kitab suci itu.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata usaha menyemai kecintaan terhadap al-Quran perlu dilaksanakan secara berterusan dengan penglibatan pihak sekolah, guru dan ibu bapa.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan amalan membaca serta memahami al-Quran menjadi sebahagian daripada kehidupan generasi muda, sekali gus membentuk sahsiah dan kerohanian mereka.
“Kita akan sentiasa mendukung dan menyokong apa juga usaha yang boleh memberikan manfaat kepada generasi muda di negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran Perdana Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau, di sini, hari ini.
Mengulas penganjuran majlis itu, Nizam berkata, inisiatif PPD Tawau menghimpunkan lebih 1,000 murid Tahun Enam daripada 61 sekolah kebangsaan di daerah ini adalah satu usaha bermakna dalam memperkukuh penghayatan al-Quran dalam kalangan murid.
Katanya, program berkenaan difahamkan sebagai penganjuran pertama seumpamanya di peringkat negeri Sabah, berbanding sebelum ini majlis khatam al-Quran dilaksanakan secara berasingan di setiap sekolah.
Menurutnya, penganjuran secara berpusat itu bukan sahaja memberi peluang kepada murid berkumpul dalam satu majlis, malah menyemarakkan semangat mereka untuk terus membaca dan mendampingi al-Quran.
Beliau berkata, tema program, ‘Mahabatul Quran Fi Qalbi’ yang bermaksud kecintaan terhadap al-Quran sentiasa terpahat dalam hati, turut membawa mesej penting mengenai keperluan membudayakan kitab suci itu dalam kehidupan seharian.
“Anak-anak perlu dididik mencintai al-Quran sejak usia muda supaya mereka sentiasa mendampinginya dan menjadikan ajarannya sebagai panduan kehidupan.
“Saya yakin apabila generasi muda sentiasa dekat dengan al-Quran, kehidupan mereka akan lebih terpelihara daripada gejala tidak sihat, selain membentuk keyakinan diri untuk terus berjaya dalam pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam mencadangkan supaya amalan membaca al-Quran diperluas kepada guru dan seluruh warga sekolah menerusi aktiviti bacaan selama 15 minit setiap Jumaat.
Katanya, amalan itu boleh dilaksanakan secara konsisten sebelum diteruskan dengan penganjuran Majlis Khatam al-Quran Perdana pada tahun berikutnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembentukan generasi berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada nilai agama memerlukan kerjasama semua pihak, khususnya ibu bapa yang berperanan sebagai pemimpin dalam keluarga.
“Galakan dan kepimpinan guru, warga sekolah serta ibu bapa amat penting bagi memastikan anak-anak dibimbing mengamalkan nilai agama, termasuk menunaikan solat lima waktu, berpuasa dan membaca al-Quran.
“Apabila amalan kerohanian ini menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka, kita berharap dapat melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan mampu menjadi pemimpin yang menyumbang kepada kesejahteraan negeri serta negara pada masa depan,” katanya.-DRP
