BINTANGOR: Taktik seorang lelaki berpura-pura menjadi pelanggan sebelum mengambil beg pinggang milik pengusaha kedai membawa kepada penahanannya di Jalan Mahkamah, di sini, hari ini.
Suspek berusia 23 tahun itu dipercayai melarikan sebuah beg pinggang yang mengandungi wang tunai dan barang kemas ketika pemiliknya sedang mengambil barangan yang diminta.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong yang diketuai Insp. Arnold Lee.
Menurutnya, kejadian itu dilaporkan di Balai Polis Bintangor pada 17 November lalu sebelum polis menjalankan risikan dan operasi mengesan suspek menerusi Op Kesan.
“Hasil soal siasat awal, suspek dipercayai mengaku terbabit dalam kejadian itu.
“Suspek memaklumkan bahawa dia memasuki premis berkenaan seorang diri dengan berpura-pura ingin membeli barangan sebelum mengambil beg pinggang yang diletakkan di atas meja ketika pengadu sedang mengambil barangan diminta,” katanya.
Suspek kemudian dipercayai melarikan diri menuju ke sebuah kereta yang dinaiki rakannya.
Siasatan awal turut mendapati rakan suspek hanya menunggu di dalam kereta dan tidak memasuki premis berkenaan.
Suspek kini dibawa ke IPD Meradong untuk siasatan lanjut dan dijadualkan dibawa ke mahkamah pada 20 November bagi permohonan reman.
Tansli menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan akan terus mempergiat usaha mengesan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang melanggar undang-undang.-DRP
