CYBERJAYA: Orang ramai disaran mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing bagi memastikan peranti mereka bersedia menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal (Early Warning System – EWS) yang sedang dilaksanakan secara berfasa.
Menurut kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), keperluan minimum peranti bagi menyokong penerimaan amaran EWS, tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir, ialah iPhone 11 dan model lebih baharu dengan iOS 27.2 atau versi terkini, Android 12 atau versi terkini serta Huawei dengan EMUI 16 atau versi terkini.
Pengguna turut disarankan memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini dan memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan sekiranya berkenaan.
EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran kecemasan disampaikan secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi dikenal pasti.
Sistem itu tidak memerlukan pengguna memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan perkhidmatan khusus.
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC mengadakan sesi taklimat khas bersama ketua-ketua pengarang media hari ini bagi memperkenalkan EWS, menerangkan mekanisme penyampaian amaran serta memperkukuh kerjasama media dalam meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat.
Sesi berkenaan turut disertai demonstrasi menerusi ujian teknikal dalaman di bangunan MCMC, Cyberjaya.
Menurut MCMC, aktiviti pada 19 November itu merupakan ujian teknikal dalaman bagi menilai serta menambah baik sistem sebagai persediaan ke arah pelaksanaan lebih meluas. Ujian pada skala lebih besar akan dilaksanakan secara berfasa.
Pelaksanaan EWS membabitkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memperkukuh keupayaan negara menyampaikan amaran kecemasan dengan lebih pantas dan bersasar.
Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat rasmi serta mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan.
EWS melengkapi saluran amaran sedia ada sebagai sebahagian usaha meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana.-DRP
