MIRI: Seorang wanita warga emas berusia 70 tahun mengalami kerugian RM9,068 selepas diperdaya individu yang menawarkan perkhidmatan mendapatkan semula wang yang hilang akibat penipuan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee bin Abdullah berkata, mangsa tertarik dengan satu iklan di Facebook menggunakan nama “NACSA (Unit Operasi & Teknikal)” pada 11 November lalu.
Menurutnya, iklan berkenaan menawarkan bantuan kepada mangsa penipuan untuk mendapatkan semula wang yang telah hilang.
Mangsa kemudian menghubungi individu terbabit menerusi WhatsApp sebelum diminta menyerahkan maklumat peribadi, termasuk gambar kad pengenalan dan butiran akaun bank.
Mangsa turut dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp menggunakan nama yang sama sebelum diarahkan membuat tiga pembayaran kononnya bagi melengkapkan proses pemulangan wang.
“Pembayaran pertama sebanyak RM168 diminta bagi tujuan pembukaan akaun, diikuti RM1,000 kononnya untuk caj perkhidmatan.
“Mangsa kemudian diarahkan membuat bayaran RM7,900 bagi tujuan caj sekuriti,” katanya.
Keseluruhan tiga transaksi itu berjumlah RM9,068. Bagaimanapun, selepas semua bayaran dibuat, mangsa masih diminta menyerahkan wang tambahan sebelum menyedari dirinya dipercayai ditipu dan membuat laporan polis.
Beliau berkata, mangsa tidak pernah bersemuka dengan suspek kerana semua urusan dan transaksi pembayaran dilakukan secara dalam talian.
Semakan awal mendapati tiga akaun bank yang digunakan dalam transaksi berkenaan serta nombor telefon suspek tidak mempunyai rekod dalam semakan CCIS.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dan mengesan pihak yang terlibat.
Sehubungan itu, Mohd Farhan menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan tawaran perkhidmatan mendapatkan semula wang yang hilang akibat penipuan, terutama melalui iklan media sosial.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai pihak yang menggunakan nama atau identiti agensi kerajaan untuk meyakinkan mangsa, selain tidak menyerahkan maklumat peribadi, gambar kad pengenalan, butiran akaun bank, kata laluan atau kod OTP/TAC kepada pihak tidak dikenali.
Mangsa penipuan kewangan yang mengesan transaksi mencurigakan juga dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan pihak bank masing-masing untuk tindakan lanjut.-DRP
