IPOH: Lelaki berusia 39 tahun yang maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, di sini, dikenal pasti sebagai ketua kumpulan samun berbahaya yang aktif di empat negeri.
Kumpulan berkenaan dipercayai terbabit dalam 22 kes samun di Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka, manakala lelaki itu mempunyai sekurang-kurangnya 17 rekod jenayah lampau.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, kumpulan itu menyasarkan rumah kediaman berhampiran lebuh raya dan melakukan pemantauan beberapa kali sebelum melaksanakan kegiatan samun.
“Mereka juga memakai topeng bagi mengelakkan identiti dikenal pasti dan kumpulan ini agresif serta tidak teragak-agak mencederakan mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, hari ini.
Menurutnya, seorang lagi suspek telah ditahan di Tanjung Malim dan direman sehingga 22 November ini, manakala empat individu lain masih diburu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi tadi, pasukan D9 JSJ Bukit Aman bersama D9 JSJ Perak terserempak dengan kereta yang dipandu lelaki berkenaan ketika menjalankan pemantauan berkaitan kes samun.
Suspek dipercayai memecut selepas diarahkan berhenti sebelum kenderaan itu berjaya dipintas. Lelaki terbabit kemudian keluar dari kereta dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis.
Polis membalas tembakan sebelum suspek disahkan meninggal dunia.
Pemeriksaan lanjut menemukan sepucuk pistol, peluru serta bahan yang dipercayai syabu, manakala tiga bilah parang, topeng muka dan peralatan pecah rumah turut ditemukan di dalam kereta suspek.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.-DRP
