KUALA TERENGGANU: Polis merampas 47 utas gelang tangan emas bernilai lebih RM100,000 selepas menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun bersenjata di sebuah kedai emas di Batu Enam, Kuala Nerus.
Kedua-dua suspek berusia 36 dan 27 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.30 pagi Rabu di sebuah rumah penginapan di Ayer Hitam, Kedah.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai merancang untuk melarikan diri ke Thailand sebelum berjaya diberkas pihak polis.
Menurutnya, hasil soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mempunyai penglibatan secara langsung dalam kejadian samun berkenaan.
“Siasatan juga mendapati terdapat individu lain yang dipercayai membantu suspek selepas kejadian, termasuk dalam usaha melarikan diri bagi mengelakkan dikesan polis.
“Seorang lagi individu turut ditahan sebelum ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, pagi tadi.
Selain 47 gelang tangan emas, polis turut merampas tiga telefon bimbit bagi membantu siasatan.
Mohd Khairi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sebahagian barang kemas yang disamun masih berada dalam simpanan pihak tertentu atau sudah dijual.
Katanya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 November bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian pada 12 November lalu, dua lelaki dipercayai melarikan sejumlah barang kemas dianggarkan bernilai RM500,000 dari kedai emas berkenaan.
Kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu membabitkan dua lelaki yang memasuki premis dengan memakai topi keledar serta menutup muka.-DRP
