Oleh NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Seorang pegawai Kastam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, daripada pertuduhan menipu dengan memberikan maklumat palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mendapatkan bayaran Faedah Orang Tanggungan bagi dua anaknya berjumlah RM9,142.90, tujuh tahun lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya membuat keputusan itu terhadap Muhammad Rajis Muhid, 40, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie tanpa tertuduh dipanggil membela diri.
Dalam keputusannya, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen kesalahan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, termasuk elemen dorongan (inducement) yang menyebabkan saksi utama membenarkan urusan pemindahan bahagian faedah berkenaan ke akaun bapa (tertuduh) kanak-kanak itu.
Mahkamah turut bersetuju bahawa berdasarkan keterangan saksi pendakwaan pertama iaitu Pegawai Eksekutif Kanan PERKESO, isu penjagaan anak-anak bukan perkara yang menjadi pertimbangan dalam urusan pemindahan bahagian Faedah Orang Tanggungan daripada akaun anak kepada akaun bapa mereka.
Mahkamah turut mengambil kira keterangan saksi pendakwaan kedua (PW2) yang bersetuju bahawa bapa kanak-kanak berkenaan tidak mempunyai sebab untuk melakukan penipuan dalam urusan pemindahan bahagian faedah tersebut.
Selain itu, pihak pendakwaan didapati gagal membuktikan bahawa Muhammad Rajis bertindak dengan niat tidak jujur dalam urusan berkenaan.
Mahkamah juga mengambil kira ketiadaan perintah penjagaan anak-anak bagi tempoh 2016 hingga 2019 yang membuktikan bahawa nenek mereka menjaga anak-anak tertuduh secara sementara sahaja.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Rajis didakwa menipu Pengurus Pejabat PERKESO Tawau dengan memberikan pernyataan palsu mengikut Seksyen 12C(2) dan (3) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bahawa dua anaknya tinggal bersamanya.
Perbuatan itu mendorong pegawai berkenaan meluluskan Faedah Orang Tanggungan anak tertuduh masing-masing bernilai RM9.14 sehari setiap seorang, di pejabatnya, 27 Mac 2019.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Seramai 16 saksi pendakwaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 2 Mac 2026.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wardah Ishhar, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Zaimah Duraman.-DRP
