JOHOR BAHRU: Polis sedang giat mengesan individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian vandalisme di Jalan Segget, di sini, yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Azrul Hisham bin Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 10 November lalu, kira-kira jam 5.55 petang.
Menurutnya, laporan dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pegawai landskap.
Beliau berkata, polis turut mengesahkan menerima beberapa gambar berkaitan kejadian berkenaan yang dimuat naik di media sosial.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di 07-218 2323 bagi membantu siasatan.
Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi membantu polis melengkapkan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terlibat.-DRP
